M Update, 12/2/2019 – Kertas Putih Pertahanan (KPP) adalah lambang aspirasi kerajaan dalam mengukuhkan pertahanan serta mewujudkan hala tuju dan keutamaan strategik bagi keselamatan negara. KPP dijangka dibentangkan oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, di Parlimen, Julai ini.
KPP akan menjadi satu pelan tindakan bagi merangka dasar berkaitan pertahanan dan keselamatan negara. Kertas Putih Pertahanan (KPP) bersifat umum dan tidak mengandungi maklumat sulit dan sensitif berhubung keselamatan negara.
KPP adalah kertas putih yang pertama yang dibangunkan untuk memaklumkan rakyat mengenai keutamaan masa kini dan rancangan Kementerian Pertahanan di masa hadapan dalam mengukuhkan benteng pertahanan dan keselamatan negara.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata, dokumen itu mengandungi perkara dan langkah yang perlu dilaksanakan dalam mempertahankan negara.
Dokumen itu juga akan memberikan penerangan secara jelas peranan rakyat, agensi dan organisasi pertahanan selain anggota tentera untuk memastikan negara terus mengecapi keamanan.
Kertas Putih Pertahanan ini adalah dokumen terbuka untuk didedahkan kepada rakyat mengenai peranan mereka dan semua pihak dalam mempertahankan negara.
Ini untuk memberikan gambaran secara jelas apa yang perlu dilakukan semua pihak termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), polis dan agensi lain.
Sumber : Berita Harian