M Update, 13/2/2019 – Seorang budak perempuan berusia empat tahun nyaris maut apabila terjatuh dari bumbung sebuah hospital di Thailand, namun bernasib baik apabila gaunnya tersangkut pada tulisan di sisi bangunan itu.
Kanak-kanak Myanmar itu menemani ayahnya ke Hospital Paholpolpayuhasena di Kanchanaburi untuk rawatan pada Ahad lalu, tetapi terpisah daripada ayahnya dan menaiki tangga kecemasan ke bumbung bangunan tujuh tingkat itu kerana mengejar seekor cicak.
Dia kemudian memanjat sisi bangunan dan terjatuh. Seorang pengunjung hospital memaklumkan kakitangan selepas mendengarnya menjerit dan enam jururawat yang bergegas membantu terkejut melihatnya seolah-olah tergantung di udara.
Seorang jururawat dengan berani memanjat ke bawah untuk mencapai tangan kanak-kanak itu manakala rakan-rakannya memeluknya supaya tidak jatuh. Pada masa sama, seorang pengunjung di aras di bawah menunggu di balkoni untuk menyambut kanak-kanak itu sekiranya terlepas.
Kanak-kanak itu berjaya diselamatkan dan tidak mengalami kecederaan walaupun masih terkejut. Sementara itu bapanya berkata: “Dia memang suka mengejar cicak, jadi saya membiarkannya. Saya tidak menyangka dia akan naik ke bumbung.”
Sumber : HM Online