Input your search keywords and press Enter.

Air Pasang Besar, Feri Ke Langkawi Tak Terjejas

Foto Hiasan

M Update, 12/09/2022 – Perkhidmatan feri ke Langkawi dari Terminal Feri Kuala Kedah tidak terjejas walaupun berlaku fenomena air pasang besar, semalam.

Tinjauan di kawasan parkir terminal feri itu mendapati, banyak kenderaan ditenggelami air laut pada sekitar jam 1 tengah hari, sebelum surut sejam kemudian.

Pegawai Operasi Ferrylines Ventures Sdn Bhd, Ahmad Azizan Aziz, berkata empat trip perjalanan feri bermula jam 12 tengah hari, 1 tengah hari, 2.30 petang dan 4 petang beroperasi seperti biasa.

Beliau berkata, air pasang besar berlaku pada jam 1 tengah hari tidak menjejaskan pengoperasian feri kedua membabitkan 196 penumpang kerana feri mampu bergerak ketika air pasang.

Feri hanya mempunyai masalah dan terjejas sekiranya air surut dan kurang dari 1.6 meter air laut,” katanya ketika dihubungi. Sehubungan itu, Ahmad Azizan berkata, penumpang feri boleh meneruskan perjalanan seperti biasa ke terminal dan keadaan paras air laut kini kembali normal.

Sementara itu, peniaga makanan, Maizatul Akmal Abas, 35, berkata setiap kali berlaku kejadian air pasang, air laut akan masuk ke dalam kedai makannya yang terletak hanya 80 meter dari pantai. Katanya, dia akan mengangkat barangan dan perkakasan berniaga ke tempat lebih tinggi kerana bimbang dihanyutkan air laut.

“Air laut masuk lebih cepat ke dalam kedai dan jika kejadian itu pada waktu malam, saya memang tak sempat berbuat apa-apa. Tetapi jika siang seperti hari ini, saya bersedia lebih awal. Jika paras air laut tidak beralun, saya berniaga seperti biasa, tetapi jika ombak beralun tinggi, saya terpaksa menutup perniagaan,” katanya.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar, Kapten (PA) Norlizawati Ismail pula berkata, sebanyak 30 rumah dan gerai jualan barangan makanan serta kedai makan di sekitar Kuala Kedah terjejas akibat dinaiki air susulan fenomena air pasang besar.

Beliau berkata, bacaan paras air laut semalam adalah 2.95 meter melebihi dari ramalan iaitu 2.9 meter pada jam 1.22 tengah hari.

“Pemantauan dilakukan di kawasan Jeti Kuala Kedah, Pasar Marina Kota Nelayan dan Jalan Tok Pasai bermula jam 12.25 tengah hari hingga 2.30 petang semalam.

“Paras air menunjukkan peningkatan kesan air pasang besar hingga menyebabkan rumah penduduk dan gerai di kawasan itu terjejas, namun keadaan masih terkawal. Tiada angin dan hujan ketika air pasang besar berlaku ketika itu,” katanya. – Berita Harian