M-Update,15/2/2019, KUALA LUMPUR – Pengarah dan pelakon Datuk Farid Kamil terpaksa membatalkan hasratnya untuk mengikuti kursus pengajian selama tiga bulan bersama isteri di luar negara sekiranya gagal mendapatkan pasport daripada mahkamah. Farid Kamil Zahari, 38, merancang untuk mengikuti kursus pengajian berkaitan penerbitan dan pengarahan bersama isteri, Diana Danielle Danny Beeson atau Diana Danielle, 28, di Gold Coast, Australia pada tahun ini.
Farid berkata, sekiranya mahkamah menetapkan untuk tidak memulangkan pasportnya, isterinya tetap akan meneruskan agenda berkenaan dan menetap buat sementara waktu di Australia bersama anak-anak. “Pada waktu ini saya masih menanti perbicaraan kes dan berharap dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.
“Saya perlu mendapatkan semula pasport untuk mengikuti pengajian bersama isteri di luar negara. Sekiranya permohonan saya gagal, maka isteri akan tetap terbang ke Australia dan meneruskan pengajian seperti yang dirancang,” katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis All Riders Gathering (AGR) anjuran Spark Malaysian Club (Spark) di sini semalam.
Terdahulu Diana pernah berkongsi rancangan untuk menyambung pengajian dalam bidang perfileman di New York Film Academy di Los Angeles, Amerika Syarikat tajaan Finas hasil kemenangannya meraih anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia 2017.Menurut Farid, pihak peguam akan memfailkan permohonan berkenaan pada mahkamah bersama lampiran surat untuk menyokong permohonan pemulangan pasport.
Pada 31 Januari lalu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor menetapkan tarikh perbicaraan baru selepas peguam Farid, Megat Syazlee Mokhtarom masih dalam tempoh bercuti akibat kemalangan.Majistret Nor Ariffin Hisham menetapkan 27 Februari serta 13, 14, dan 15 Mac depan untuk perbicaraan kes.
Pada 16 Januari 2018, Farid mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan, iaitu mendatangkan kecederaan kepada seorang orang awam dan anggota polis, menghalang anggota polis menjalankan tugas dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kesat di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara kira-kira pukul 1.20 petang pada 11 Januari lalu. – K! ONLINE