M Update, 18/2/2019 – Tindakan cepat anggota bomba telah menyelamatkan lima orang termasuk dua pelancong asing yang terkandas lebih lima jam akibat keletihan ketika beriadah dalam Hutan Simpan Hujung Kelawai.
Kumpulan tersebut termasuk seorang jurupandu pelancong tempatan berusia 45 tahun itu masuk dalam hutan berkenaan untuk aktiviti riadah dan mendaki bukit kira-kira jam 2 petang semalam, sebelum meminta bantuan bomba akibat keletihan dan tidak mampu keluar dari hutan berkenaan.
Operasi menyelamat lima mangsa membabitkan dua lelaki dan seorang wanita tempatan serta masing-masing seorang wanita warga Jepun dan lelaki warga Norway berusia antara 45 hingga 69 tahun.
Mereka keletihan selepas menjalankan aktiviti riadah dalam hutan berkenaan dan selepas kira-kira lima jam berjalan, bomba menemui mangsa pada jam 9.50 malam.
Semua mangsa berada dalam keadaan keletihan tetapi tidak mengalami kecederaan. Selepas dibawa keluar dari hutan, semua mangsa dihantar ke Hospital Desa Pulau Pangkor untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 12.50 tengah malam.
Sumber : Berita Harian