Input your search keywords and press Enter.

Harimau Muda Negara Tempuh Laluan Sukar

M-Update,19/2/2019, PHNOM PENH, Kemboja: Skuad bawah 22 tahun negara (B-22) menempah laluan berliku pada aksi pertama kempen Kumpulan B Piala LG B-22 AFF apabila tewas 0-1 di tangan Kemboja di Stadium Olimpik, Phnom Penh, semalam. Kekalahan anak buah Datuk Ong Kim Swee itu meletakkan mereka kini pada kedudukan sukar untuk melepasi peringkat kumpulan dengan Malaysia wajib menang pada aksi kedua bertemu Indonesia petang nanti.

Persiapan ala kadar tanpa lima pemain yang tidak mendapat pelepasan daripada kelab Liga Malaysia nyata menjejaskan rentak skuad negara apabila dilihat bergelut di atas padang tiruan sepanjang 90 minit aksi itu.Sebaik permainan bermula, Kemboja yang dibimbing Felix Dalmas lebih awal mendapat rentak dengan membuat percubaan awal menerusi Yeu Muslim pada minit kesembilan namun sempat dihalang pertahanan negara.

Peluang terbaik Malaysia hadir pada minit ke-21 apabila penyerang kelab Jepun, Fagiano Okayama, Hadi Fayyadh Abdul Razak melorongkan bola kepada Shahrul Nizam Ros Hasni namun rembatannya melambung tinggi buat melegakan penyokong tuan rumah.Seharusnya Kemboja sudah mendahului pada minit ke-35 menerusi tandukan Narong Kakada yang menerima hantaran lintang Ken Chansopheak namun percubaanya itu sedikit melewati tiang gol ketika Haziq Nadzli sudah pun tertewas.

Memasuki babak kedua, Kim Swee terpaksa membuat dua pertukaran dengan memasukkan Ariusdius Jais dan Nik Akif Syahiran Nik Mat bagi memperkukuhkan jentera depan pasukan.Bagaimanapun, tindakan melulu Danial Haqim Draman menjatuhkan pemain tuan rumah di kawasan tengah padang akhirnya memakan diri apabila dia menerima kad kuning kedua sekaligus dilayangkan kad merah buat Malaysia beraksi dengan 10 pemain.

Sath Rosib yang diberi tanggungjawab untuk mengambil sepakan percuma itu berjaya memecah kebuntuan apabila tendangannya dari tengah padang berjaya mengelirukan Haziq di minit ke-62.Biarpun kekurangan seorang pemain, skuad negara tetap ampuh melancarkan serangan namun kekentalan benteng pertahanan tuan rumah menyaksikan mereka berjaya mengekalkan jaringan untuk meraih tiga mata penuh.

Sementara itu, dalam aksi terdahulu, Indonesia dan Myanmar terikat 1-1 dengan pemain negara tiada pilihan lain wajib memburu kemenangan ke atas skuad muda garuda selepas ini.

–Bharian

Leave a Reply