Input your search keywords and press Enter.

RTM Ikut SOP, Bukan Sabotaj

M Update, 21/2/2019 – KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia menjelaskan liputan siaran langsung Radio Televisyen Malaysia (RTM) ketika sambutan Tahun Baharu Cina peringkat kebangsaan di Seremban, Negeri Sembilan, Ahad lalu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan.

Menterinya Gobind Singh Deo berkata, SOP RTM menyatakan dengan jelas bahawa apabila Perdana Menteri menghadiri sebuah majlis rasmi, maka hanya ucapannya yang akan disiarkan secara langsung melalui RTM.

Justeru, katanya, RTM tidak boleh dipersalahkan kerana tidak menyiarkan ucapan seorang Menteri dan Menteri Besar Negeri Sembilan di majlis berkenaan, memandangkan Perdana Menteri turut hadir dan berucap di majlis itu. Walaupun wujudnya SOP tersebut, masih ada ruang bagi pihak penganjur sesebuah acara untuk berbincang dengan RTM bagi membuat perubahan kepada perkara-perkara yang perlu disiarkan secara langsung di sesuatu acara. Ia termasuklah memberikan liputan secara langsung bagi individu lain, lebih daripada apa yang tertera dalam SOP, berdasarkan nilai berita bagi acara tersebut.

Malangnya, dalam kes ini, tiada permintaan sebegitu dibuat,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini. Katanya, mengikut SOP, RTM dilihat tepat dalam isu ini dan hanya menyiarkan ucapan Perdana Menteri secara langsung dalam majlis berkenaan. Gobind berkata, beliau juga dimaklumkan bahawa acara siaran langsung itu dilakukan dengan persetujuan pihak penganjur, iaitu Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

“Saya juga tidak akan teragak-agak untuk memberi teguran kepada sesiapa pun, dengan niat untuk memperbaiki perkhidmatan kami di RTM. Namun dalam hal ini, RTM tidak melakukan apa-apa kesalahan. Apa yang dilakukan adalah bertepatan dengan apa yang telah diatur dengan pihak penganjur dan SOP yang terpakai untuk majlis sedemikian,” katanya. Katanya, Kerajaan mengalu-alukan semua kritikan yang membina malah, hak mengkritik dan mendapatkan penjelasan dari kerajaan yang memerintah adalah hak semua rakyat.

Sebelum ini, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pengangkutan, Lim Swee Kuan mendakwa RTM cuba mensabotaj kerajaan susulan stesen TV itu tidak menyiarkan ucapan Loke, yang juga Ahli Parlimen Seremban dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat kebangsaan di Seremban baru-baru ini.

Sumber : HM Online

Leave a Reply