Input your search keywords and press Enter.

Pertahanan negara perlu diubah, disesuaikan dengan keadaan semasa – PM

M Update, 21/2/2019 – Cara pertahanan dan pendekatan yang diambil Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu diubah dan disesuaikan dengan keadaan hari ini, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, hari ini negara menghadapi ancaman yang kompleks dan mencabar dan musuh yang dihadapi tidak dikenali dan kadang-kadang wujud seperti satu bayangan. Katanya, ia tidak lagi bertumpu dari dalam negara malah kini ia datang dari pelbagai sudut dan pihak yang memusuhi negara didorong oleh ideologi dan pegangan yang berlainan.

Dalam lain perkataan, globalisasi yang kita kaitkan dengan ekonomi selama ini adalah juga terkait dengan keganasan dan peperangan. Dengan itu, Menteri Pertahanan pada hari ini memikul tanggungjawab yang lebih berat dalam menghadapi ancaman yang lebih kompleks. Ancaman berlaku pada setiap masa kerana maklumat pada era globalisasi ini bergerak pantas dan melampaui sempadan,” katanya ketika berucap dalam majlis lawatan rasmi ke Kementerian Pertahanan, Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata, kedudukan strategik Malaysia memberikan kelebihan dari segi geopolitik serantau dan dunia. Katanya, di sudut yang lain ia mendedahkan negara kepada pelbagai ancaman luar yang membabitkan kuasa besar yang boleh menarik Malaysia ke kancah pertelingkahan antara mereka.

Kerana itu, Kementerian Pertahanan mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mengkaji kesan dan perkembangan yang sedang berlaku di persada antarabangsa dan membantu Kerajaan untuk mengambil keputusan diplomatik yang sesuai. Dan pada masa yang sama menilai apakah kelengkapan yang sesuai dan diperlukan oleh ATM,” katanya.

Dr Mahathir berkata fokus paling utama adalah memastikan kedaulatan negara kita tidak dicabar atau tergadai dalam usaha kita berdiplomasi dan menjaga hubungan baik dengan semua pihak. Malaysia perlu kekal sebagai sebuah negara berkecuali yang tidak memihak kepada mana-mana kuasa dunia, dan pada masa yang sama bersedia bersahabat dengan negara-negara besar dan negara kecil demi kepentingan bersama.

Kerajaan juga akan berusaha memastikan angkatan tentera kita dapat berfungsi dengan baik dan memberikan perhatian khusus kepada keperluan peralatan dan kelengkapan persenjataan. Pihak kerajaan akan berusaha memastikan pelan pembangunan ATM dapat direalisasikan bagi melengkapkan kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia,” katanya.

Sumber : BH Online

Leave a Reply