Input your search keywords and press Enter.

Kuota Haji Untuk Rakyat Malaysia Tahun Ini 14,306

M Update, 21/04/2022 – Kuota haji Malaysia tahun 2022 adalah 14,306 iaitu 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Dalam pengumuman secara langsung menerusi Facebook hari ini, Idris berkata, peratusan sama (45 peratus) terpakai kepada semua negara.

Arab Saudi tahun ini menetapkan kuota haji seramai satu juta jemaah bagi musim 2022. Jumlah itu adalah 45 peratus berbanding 2.5 juta orang, pada 2019.

TH katanya, akan keluarkan surat tawaran kepada bakal haji dalam masa terdekat.

Idris berkata, kuota sebanyak 14,306 jemaah itu ialah penurunan daripada seramai 31,600 jemaah haji Malaysia yang dibenarkan untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu, pada 2019.

“Ini (kuota jemaah bagi musim haji 2022) sudah tentunya berikutan penilaian dan langkah berjaga-jaga demi memastikan kesihatan dan keselamatan semua jemaah haji dari seluruh dunia.

“Jemaah haji yang dibenarkan pula adalah berusia 65 tahun ke bawah, tiada penyakit kronik, mempunyai sijil vaksinasi COVID-19 dan perlu mengemukakan keputusan negatif ujian calitan (PCR) dalam tempoh 72 jam daripada masa berlepas.

“Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi dengan jumlah kuota diberikan kepada jemaah haji Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, Idris dilaporkan berkata, kerajaan berharap kuota jemaah haji Malaysia ditambah jika Arab Saudi membenarkan negara luar menunaikan Rukun Islam kelima itu, tahun ini.

Beliau juga dilaporkan berkata, persediaan jemaah haji Malaysia untuk menunaikan ibadah itu pada tahun ini, termasuk logistik, penginapan hotel dan kemudahan lain sudah sedia, selain hanya menunggu pengumuman kuota haji oleh Kerajaan Arab Saudi. – BH