Input your search keywords and press Enter.

Van bawa mayat hangus

M Update, 4/3/2019 – “API marak dengan cepat dan kami tidak mampu berbuat apa-apa,” kata Lau Keong Liang, kelindan van mayat yang musnah dalam kebakaran di Jalan Kebun Sultan, Kota Bharu, hari ini. Bagaimanapun dalam kejadian 9.30 pagi itu, mayat lelaki berusia 41 tahun di dalam keranda itu tidak terbakar.

Keong Liang, 26, berkata, mereka dalam perjalanan ke tempat pembakaran mayat di Pauh Lima, Bachok selepas menuntut mayat itu dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu. Katanya, sebelum kejadian, pemandunya masuk ke bandar Kota Bharu dan singgah di kedai buku untuk membuat salinan dokumen si mati sementara dia menunggu di dalam van.

“Tiba-tiba, saya ternampak api di bahagian belakang van berhampiran keranda. Saya terus turun dan membuka pintu belakang sebelum mencapai tong berisi air untuk menyimbah api, namun api semakin marak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. Menurutnya, van itu hangus keseluruhan manakala keranda hanya terbakar di bahagian luar sahaja.

Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Tengku Marzuki Tuan Mat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Darul Naim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.37 pagi sebelum enam anggota dari BBP Darul Naim dan tujuh dari Tunjong bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba pada 9.49 pagi, api sedang marak dan operasi pemadaman terus dilakukan. Api dapat dipadam sepenuhnya 9.55 pagi. Pemeriksaan lanjut mendapati, mayat tidak terjejas kerana hanya di bahagian luar keranda sahaja terbakar manakala van pula hangus 100 peratus,” katanya. Katanya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sumber : HM Online

Leave a Reply