M Update, 5/3/2019 – Berpantang maut sebelum ajal, dua nelayan terselamat selepas bot mereka yang rosak hanyut menghampiri pantai sebelum mula tenggelam di Tanjung Lompat, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, nelayan berusia 62 dan 54 tahun itu, berenang ke pantai sebelum ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR).
APMM sebelum itu menerima panggilan kecemasan daripada rakan kedua-dua mangsa melaporkan bot terbabit mengalami kerosakan dan dimasuki air kira-kira 0.4 batu nautika utara Tanjung Lompat.
Bot tersebut ditemui dalam keadaan separuh tenggelam di perairan cetek kira-kira 50 meter dari pantai Hotel Tiara Desaru berhampiran Tanjung Lompat. Pemeriksaan bagaimanapun tidak menemui mangsa dalam bot itu.
Pasukan SAR percaya mangsa berenang ke pantai dan meminta bantuan Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, Pengerang untuk melakukan pencarian di darat sebelum menemui mereka dalam keadaan selamat jam 11.30 malam.
Siasatan awal mendapati bot berkenaan dalam perjalanan dari Pulau Ketam, Klang menuju ke Endau, Pahang untuk dibaiki di sebuah limbungan kapal.
Sumber : Berita Harian