M Update, 6/3/2019 – Rakyat Malaysia yang kini berada di Pakistan disahkan berada dalam keadaan selamat manakala situasi negara itu pula masih terkawal walaupun ketegangan masih terasa.
Susulan itu, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Pakistan, Atif Sharif berkata, waris atau ahli keluarga kesemua rakyat terbabit diminta bertenang sementara menanti kepulangan mereka ke Malaysia yang dijangka akhir minggu ini. Menurut beliau, kerajaan bersedia membantu semua rakyat Malaysia itu meninggalkan Pakistan melalui Colombo di Sri Lanka atau negara teluk jika situasi bertukar bahaya.
Apabila anda membaca (mengenai ketegangan di Pakistan) di media sosial, laporan berkenaan tidak tepat dan kadang kala sengaja diperbesarkan untuk menggambarkan betapa buruk keadaan di sana. Hakikat sebenar , ia tidak begitu sama sekali.
Secara jujur, memang situasi kelihatan amat menakutkan atau amat buruk jika anda membaca mengenainya di media sosial. Semua berita mengenai keganasan ini kebanyakannya tersebar luas di sana tetapi sebenarnya suasana adalah tenang dan normal seperti biasa,” katanya di majlis taklimat berhubung situasi Pakistan dan India di Suruhanjaya Tinggi Pakistan di sini, hari ini.
Atif berkata, Pakistan sebagai sebuah negara yang mencintai keamanan sentiasa bersedia untuk sebarang sesi rundingan berhubung konflik di sempadan, termasuk isu berkaitan Kashmir. Kami berharap sebarang sesi rundingan itu turut mencakupi isu Kashmir bagi membolehkan kita mencipta penyelesaian kekal terhadap konflik membabitkan kedua negara.
“Kita tahu bahawa pemimpin kedua negara menyedari yang baik Pakistan atau India, tidak boleh terbabit dalam peperangan, justeru penyelesaian secara progresif amat perlu dalam memastikan kemelut ini dapat diakhiri,” katanya.
Sumber : BH Online