Input your search keywords and press Enter.

Lagu Kebangsaan bukan lagu hiburan, henti persenda ‘Negaraku’

M Update, 4/10/2019 – Lagu ‘Negaraku’ tidak perlu ditukar hanya kerana beberapa pihak mempertikaikan keasliannya, tegas Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Katanya, lagu kebangsaan berkenaan yang dipersetujui digunakan semua negeri termasuk Sarawak ketika menyertai Malaysia pada 1963, merupakan identiti negara dan bukannya sesuatu yang boleh ditukar sewenangnya, seperti lagu-lagu hiburan.

“Kalau lagu kebangsaan (Negaraku) itu sudah diterima, kita akur dan kita hormati lagu itu. Janganlah dipersendakan dengan mengatakan ianya dibuat oleh orang putih dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Presiden Parti Bumi Kenyalang, Voon Lee Shan seperti dilapor media tempatan yang mahu lagu itu ditukar kerana kurang asli dan berasal dari rentak “Le Rosalie” ditulis ahli muzik Perancis, Pierre-Jean de Beranger.

Abdul Karim berkata, sekiranya ada pihak yang merasakan Sarawak tidak mendapat hak sepatutnya dalam Malaysia, ketidakpuasan hati mereka perlu ditunjukkan di platform lebih sesuai bukannya dengan tidak menghormati lagu kebangsaan.

“Itu boleh ditunjukkan mereka ketika pilihan raya dan bukan ditunjukkan ketika lagu kebangsaan (Negaraku) berkumandang ataupun tidak menghormati bendera (Malaysia) yang sedang dinaikkan,” katanya.-

Sumber : BERNAMA

Leave a Reply