M-Update,6/3/2019, LANGKAWI – Ibu kandung kepada kanak-kanak perempuan, Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3, menggambarkan teman lelakinya yang ditahan kerana disyaki membunuh anak tunggalnya itu sebagai seorang yang bengis dan panas-baran. Rosmaliah Samo, 32, mendakwa, suspek berusia 37 tahun itu juga sering memukul Nur Aisyah sekiranya kanak-kanak itu merengek.
“Saya pernah nampak anak saya dipukul termasuk ditampar pada pipi tetapi saya tidak berani menghalang kerana dia ugut mahu pukul saya,” katanya ketika ditemui di sebuah restoran tempat dia bekerja di Pantai Chenang di sini hari ini. Katanya, badan anaknya juga dipenuhi lebam dipercayai dicubit selain kesan cucuh puntung rokok dan melecur dipercayai dicurah air panas.
“Anak saya mungkin dipukul semasa saya keluar bekerja di sebuah restoran di Pantai Chenang,” ujarnya sambil memberitahu suspek pernah menyuap cili ke dalam mulut anaknya dengan menyatakan Aleya suka makan pedas.Menurutnya, dia pernah mahu membawa keluar anaknya dari rumah suspek di kuarters Hospital Langkawi (HL) tersebut tetapi suspek melarang.
“Saya takut kerana suspek seorang kaki pukul selain dia berkeras mahu menjaga Aleya,” jelasnya yang memberitahu dia pernah dipukul suspek dengan topi keledar dan getah paip beberapa kali.Bercerita lanjut tentang kehilangan anaknya itu, katanya, dia tidak berjumpa dengan anaknya lebih sebulan kerana suspek mahu menjaganya dan meyakinkan bahawa Aleya dalam keadaan baik.
“Saya kemudian pergi mencari Aleya pada 23 Februari lalu tetapi apa yang mengejutkan apabila salah seorang anak suspek yang berusia empat tahun beritahu Aleya sudah mati.”Naluri saya kuat mengatakan apa yang diberitahu anak suspek itu benar sebelum saya pergi semula ke rumahnya keesokan harinya, namun anak suspek menukar cerita dengan beritahu ayah telah memberikan Aleya kepada orang lain,” katanya.
Ujarnya lagi, dia yang berasa tidak sedap hati kemudian membuat laporan polis mengenai kehilangan anak kesayangannya itu.”Sepanjang kehilangannya, saya ada bermimpi Aleya berkata mama, datanglah ambil adik,” katanya.
– Kosmo