Input your search keywords and press Enter.

Melayu & Pantun Berpisah Tiada

Prof. Diraja Ungku Aziz berpendapat bahawa pantun sudah wujud sejak 800 tahun yang lampau, sebelum adanya sosok William Shakespeare, penulis romantis dari Barat. Namun demikian, tidak dapat dipastikan dengan tepat tarikh mahupun tahun sebenar lahirnya puisi Melayu ini dalam kelompok masyarakat Melayu. Hal ini kerana sedari dulu lagi pantun merupakan suatu puisi lisan sehinggalah sekarang. Ada juga yang menulis pantun dalam karya-karya sastera lama tetapi jumlahnya tidaklah banyak.

Bayangkan, setelah 800 tahun berlalu, orang Melayu zaman ini masih mampu mengenali rupa paras pantun dan tidak kurang bilangannya yang mampu menghasilkan pantun yang berkualiti. Ini merupakan hasil daripada banyak prakarsa yang dirancang untuk menyuburkan budaya berpantun dalam masyarakat Melayu. Itulah sebab mengapa tajuk artikel ini ditulis sebegitu kerana dengan usia pantun yang sudah tua, masih mampu survive dalam dunia yang sudah silih berganti revolusinya.

Tidak dapat dinafikan pantun telah menjadi trademark kepada kecerdasan dan kebestarian orang Melayu. Richard Olaf Windstedt berkata : “Tiada sesiapapun yang dapat mengagak keluasan pemikiran orang Melayu tanpa memahami pantunnya.”

Struktur Pembinaan Pantun

Pantun Melayu selalunya mengandungi empat baris dalam satu rangkap (ada juga pantun sebanyak lapan dan 12 baris setiap rangkap) dan mengandungi dua baris pembayang maksud dan dua baris maksud.

Dalam sebuah pantun yang baik, dua baris pembayang maksud itu haruslah berkait antara satu sama lain dan perlu pula berkait dengan dua baris maksud seterusnya. Itulah mengapa dua baris awal itu dikenali sebagai pembayang maksud iaitu kerana ia menjadi acah ataupun bunga sebelum sampai kepada maksud pada dua baris yang terakhir.

Melalui pantun, dapatlah kita ramal falsafah orang Melayu yang tidak akan memisahkan antara dua perkara yang saling berkait; hidup dan mati, kaya dan miskin, cerah dan gelap, hitam dan putih, hak dan batil, pencipta dan makhluk serta banyak lagi. Orang Melayu menyedari bahawa hari yang mendung tidak selamanya mendung kerana matahari masih ada di balik mendung tersebut. Begitulah kritisnya pemikiran orang Melayu yang terzahir dalam bentuk fizikal pantun.

–ThePatriot

Leave a Reply