Input your search keywords and press Enter.

Chong Wei sah tarik diri Terbuka Malaysia

M Update, 20/3/2019 – Jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei terpaksa menunggu lebih lama untuk membuat kemunculan semula dalam kejohanan antarabangsa.

Bekas pemain nombor satu dunia itu yang tidak menyertai mana-mana kejohanan sejak disahkan menghidap kanser hidung pada Julai tahun lalu sah menarik diri daripada saingan Terbuka Malaysia bermula 2 hingga 7 April depan. Keputusan itu menyaksikan dia tidak akan mempertahankan gelaran juara dimenanginya tahun lalu yang turut menyaksikan dia muncul juara buat kali 12.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, sebentar tadi memaklumkan Chong Wei dinasihatkan doktor pakar merawatnya di Taiwan untuk tidak menyertai kejohanan itu. Susulan rawatan rutinnya di Taiwan, kami ingin memaklumkan Chong Wei disahkan sudah sihat dan proses pemulihannya berjalan lancar.

“Bagaimanapun, bagi mengelakkan tubuh badannya daripada menghadapi sebarang tekanan, Chong Wei dinasihatkan menarik diri daripada saingan Terbuka Malaysia 2019. Keutamaan BAM tetap terhadap kesihatannya dan memberikan sokongan sepenuhnya kepada pemain berusia 37 tahun itu. Kami juga berharap semua pihak memberikan ruang secukupnya untuk dia menjalani proses pemulihan,” kata kenyataan itu.

Chong Wei sudah berada di Taiwan sejak Ahad lalu dan bertemu dengan doktor pakar merawatnya pada jam 11 pagi tadi. Keputusan penarikan diri pemenang pingat perak Olimpik tiga kali itu bagaimanapun bukan sesuatu yang mengejutkan selepas Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria pada minggu lalu meminta peminat badminton negara tidak meletakkan harapan tinggi untuk Chong Wei beraksi di Terbuka Malaysia.

Malah, Chong Wei juga masih belum menjalani latihan penuh dengan dia hanya berlatih sebanyak tiga kali seminggu. Berdasarkan undian sebelum ini, Chong Wei dijadual bertemu pilihan kelapan dari India, K Srikanth untuk aksi pusingan pertama.

Sumber : BH Online

Leave a Reply