Input your search keywords and press Enter.

Inkues Adib: Bapa Jadi Saksi

M Update, 21/3/2019 – Suasana bertukar pilu pada prosiding Mahkamah Koroner Shah Alam, hari ini, apabila bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, 64, berkongsi kenangan ketika anggota bomba berkenaan dirawat di di Unit Rawatan Rapi (ICU) Institut Jantung Negara (IJN), tahun lalu.

Menurutnya, anak ketiga daripada lima beradik itu sempat bertanyakan keadaan keluarga dan ibunya, meskipun dalam keadaan terlantar di dalam wad berkenaan. Saksi inkues ke-23 itu berkata demikian ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Hamdan Hamzah pada hari ke-15 prosiding inkues kematian Muhammad Adib.

HAMDAN: Apakah antara perkara yang kamu bualkan dengan arwah di ICU?

MOHD KASSIM: Dia pernah tanya adakah mak dia ada belanja. Tanya tentang adik dia yang seorang itu.

Menjawab soalan lain, petani itu berkata, dia dan isteri bagaimanapun tidak pernah bertanyakan mengenai kejadian yang menimpa anaknya ketika dirawat di IJN.

HAMDAN: Sepanjang masa kamu bersama arwah di ICU, siang dan malam. Ada tak Pak Kassim tanya macam mana boleh jadi?

MOHD KASSIM: Soalan-soalan macam itu, saya tak pernah tanya dan saya tahu dia tengah trauma. Susahkan dia lagi, mak dia pun tak pernah tanya… kami tak mahu anak yang tengah derita diajukan soalan-soalan macam itu.

HAMDAN: Secara sukarela pun dia tak pernah cerita?

MOHD KASSIM: Memang tak pernah.

Saksi sama berkata, pada satu sama iaitu dalam tempoh lima hari Muhammad Adib dirawat di IJN, anaknya itu kelihatan bertambah baik dan dapat berkomunikasi dengan menulis di papan putih. Katanya, ini kerana anaknya itu tidak dapat bercakap berikutan ada tiub di dalam mulut.

HAMDAN: Daripada pemerhatian, bagaimanakah keadaan dia ketika menerima rawatan di IJN?

MOHD KASSIM: Keadaan dia semakin baik. Tak silap dalam tempoh lima hari, selepas itu kesihatan dia semakin merosot.

HAMDAN: Semasa ada anggota bomba datang bertanyakan soalan, keadaan arwah masa itu macam mana?

MOHD KASSIM: Arwah dalam keadaan yang cukup baik.

Saksi sama berkata, Muhammad Adib juga pernah juga menulis di papan putih perkataan Jiha iaitu nama tunang anggota bomba itu. Saya faham dia nak jumpa Jiha dan dimaklum supaya bawa Jiha jumpa dia,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan peguam mewakili keluarga Muhammad Adib, Ahmad Taufiq Baharum, Mohd Kassim berkata, keluarga pernah menaruh harapan anaknya akan sembuh selepas anggota bomba itu dilihat semakin pulih.

AHMAD TAUFIQ: Pak Kassim sebut tadi arwah banyak bertanyakan mak dia, adik-adik. Itu masa dalam lima hari tu ke?

MOHD KASSIM: Ya

AHMAD TAUFIQ: Keadaan dia (masa lima hari) itu, trauma atau pun dalam keadaan (pengaruh) ubat atau dadah?

MOHD KASSIM: Dia macam normal apabila diajukan soalan. Dia akan jawap dan dia juga ada tanya soalan, ‘Mana mak, mak apa khabar, ada duit belanja?’

Selain itu katanya, Muhammad Adib pernah bertanya sama ada dia boleh dibawa pulang dan berubat di kampung. Dia pernah tulis kita balik berubat di kampung. Tetapi saya bagi keyakinan supaya kita tunggu di sini (IJN). Di sini, IJN tempat terbaik… doktor terbaik. Jadi, dia pun dapat terima,” katanya.

Ketika menjawab soalan peguam pemerhati Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Syazlin Mansor, Mohd Kassim turut berkongsi anaknya itu pernah meracau pada awal pagi ketika dirawat di ICU IJN. Jururawat panggil pada 3 atau 4 pagi dan kami pergi dan tenangkan dia,” katanya.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di IJN.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung esok.

Sumber : HM Online

Leave a Reply