M Update, 28/3/2019 – Penduduk di Felda Palong 12, Jempol tidak perlu khuatir jika terminum air terawat susulan penemuan mayat dalam tangki air di kawasan berkenaan pada Isnin lalu.
Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, hukum meminumnya selama mana tidak diketahui adalah harus. Dalam masalah seperti ini, penduduk yang terminum air bercampur daripada mayat diharuskan. Jika mereka tahu lebih awal, mereka tentu tidak meminumnya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Mohd Yusof menjelaskan, mayat manusia asalnya suci selagi mana ia belum hancur atau pecah. Jika sudah hancur, cebisan daging mayat yang bercampur sedikit air akan menjadi najis. Bagi air yang banyak, ia juga menjadi najis apabila berubah warna, bau dan rasa,” katanya.
Sebagai pihak berkuasa katanya, mereka perlu mengosongkan keseluruhan air sebelum membasuh tangki menggunakan air mutlak atau air biasa. Ketika pembersihan dilakukan, ia perlu dipastikan tiada lagi perubahan warna, bau dan rasa,” katanya. Terdahulu Harian Metro melaporkan, polis menemui tengkorak dan beberapa cebisan daging dipercayai mayat lelaki yang dilaporkan hilang kira-kira lapan bulan lalu dalam tangki air milik Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) di FELDA Palong 12.
Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, bahagian cebisan itu ditemui selepas operasi mengeluarkan mayat terbabit dilakukan anggota bomba, pada 1 tengah hari. Pada mulanya polis menerima laporan daripada pekerja SAINS yang melakukan pemantauan paras air sebelum menemui objek seperti mayat terapung dalam tangki air berkenaan.
Ketua Perhubungan Awam SAINS Norzita Ismal dilaporkan berkata, pihaknya melakukan kerja penutupan tangki dan pencucian. Bagaimanapun, ada penduduk menyatakan kebimbangan berikutan selama ini mereka terminum air yang bercampur dengan mayat.
Sumber : HM Online