Input your search keywords and press Enter.

Rugi RM38,500 ‘Love Scam’ Punya Pasal

M Update, 1/4/2019 – Seorang warga emas yang menjadi mangsa sindiket penipuan dipercayai ‘Love Scam’ kerugian RM38,500 selepas diperdaya seorang lelaki yang dikenali menerusi Facebook.

Kejadian bermula apabila wanita berusia 64 tahun itu terpedaya dengan helah lelaki berkenaan yang kononnya ditahan oleh Jabatan Imigresen ketika transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Sumber berkata, lelaki menggunakan nama Elvis berasal dari Liverpool, England, itu kononnya dalam perjalanan ke Singapura atas urusan perniagaan sebelum ditahan ketika transit di KLIA kerana membawa cek dalam nilai mata wang asing melebihi had ditetapkan.

Bagaimanapun, suspek memaklumkan kepada mangsa dia kemudiannya dijemput oleh pegawai Kedutaan Britain di KLIA dan dibawa ke bank untuk urusan cek berkenaan. Suspek memberitahu mangsa dia mahu meminjam sejumlah RM11,500 kononnya untuk membayar komisen kepada Bank Negara berikutan kesalahan membawa cek dalam nilai mata wang asing melebihi had ditetapkan.

Lelaki itu kemudian memberikan nombor akaun bank yang didaftar atas nama seorang wanita tempatan untuk mangsa memasukkan wang. Janda anak dua itu yang bersimpati dengan suspek kemudian mengeluarkan wang simpanannya dan memasukkan wang berkenaan di sebuah bank di Jalan Sultan Ismail di sini, kira-kira jam 1.30 tengah hari pada 26 Mac lalu.

Bagaimanapun, suspek kemudian sekali lagi menghubungi mangsa dan memberitahu kononnya dia memerlukan sejumlah RM8,400 lagi sebelum mangsa menuruti kehendak lelaki itu dan memasukkan wang ke dalam akaun sama kira-kira jam 4.15 petang hari sama. Sumber berkata, mangsa kemudian sekali lagi memasukkan wang berjumlah RM9,300 kira-kira jam 12.15 tengah hari pada 27 Mac dan RM9,300 lagi kira-kira jam 12.15 tengah hari pada 28 Mac.

Warga emas itu hanya menyedari ditipu selepas suspek masih meminta sejumlah wang sebelum mangsa membuat laporan di Balai Polis Gong Badak untuk tindakan lanjut. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – HM Online

Leave a Reply