Input your search keywords and press Enter.

CINTA NEGARA ASAS PERPADUAN

Islam sangat menggalakkan umatnya saling bersatu padu, bekerjasama, saling memahami dan hormat-menghormati bukan sahaja dalam kalangan saudara se-Islam sendiri, malah juga sesama masyarakat bukan Islam terutamanya untuk memajukan negara dalam semua bidang demi menjamin kestabilan dan kemakmuran negara Malaysia.

Tanpa kerjasama, toleransi dan saling bersatu padu antara kaum, negara kita akan berada dalam kemunduran dan berlaku pergolakan yang berterusan sehingga boleh mengganggu gugat kesejahteraan Negara. Ini menunjukkan betapa pentingnya rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, kaum dan agama saling memahami dan hormat menghormati serta bersatu padu demi membentuk negara bangsa yang maju dan aman damai.

Ini bertepatan dengan firman Allah taala dalam surah al-Maidah ayat 2:

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertakwalah kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksayNya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).

Selain itu, Islam juga sangat menggalakkan umatnya mencintai negara. Sebagaimana sabda Nabi SAW ketika pertama kali sampai di Madinah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Ya Allah, jadikan kami mencintai Madinah seperti cinta kami kepada Makkah atau melebihi cinta kami pada Makkah”. (Riwayat al-Bukhari).

Semangat cintakan negara mesti dididik sejak dibangku sekolah lagi. Seterusnya disuburkan secara berperingkat dan berterusan dalam jiwa rakyat pada setip lapisan masyarakat dari semasa ke semasa. Perasaan cintakan negara akan melahirkan sifat kebertanggungjawaban dalam memajukan negara dipelbagai bidang samada sosial, ekonomi, politik, agama, budaya atau pendidikan. Sekiranya wujud semangat tanpa cintakan negara, sudah pasti akan timbul pelbagai masalah sosial yang berpunca dari hilangnya sifat kebertanggungjawaban dalam diri.

Salah satu cara untuk melahirkan rasa cinta yang tidak berbelah bagi kepada negara ini ialah dengan memahami kepelbagaian budaya dan adat resam semua kaum dalam Negara kita. Hal ini akan dapat mengukuh ikatan tali perpaduan kaum ke arah kemajuan negara pada masa depan. Seterusnya, ikatan perpaduan ini akan menjadi penggerak kepada integrasi nasional dalam membina sebuah negara yang aman makmur.

Sejarah Islam di bawah pimpinan junjungan besar Nabi kita Muhammad SAW di Madinah telah membuktikan bahawa negara yang mempunyai penduduk pelbagai agama dan kaum boleh hidup aman damai di bawah satu pemerintahan. Rasulullah SAW telah berjaya menyatupadukan semua penduduk Madinah dan mereka saling bersatu padu, bertoleransi dan saling tolong-menolong dengan membentuk satu perlembagaan negara yang dikenali sebagai “Piagam Madinah”. Antara isi perlembagaan tersebut ialah semua penduduk Madinah hendaklah bekerjasama dalam meningkatkan kemajuan ekonomi Madinah, bersatu padu dan patuh kepada Rasulullah SAW sehingga Madinah menjadi sebuah negara Islam terulung pada waktu itu.

Justeru, sebagai rakyat Malaysia yang hidup dalam masyarakat majmuk sepatutnya mendukung, memahami dan menghayati Perlembagaan Negara yang digubal demi menjamin keamanan negara kita.

Sumber Kesahihan ~ JAIS

Leave a Reply