Input your search keywords and press Enter.

PDRM Jalankan Siasatan Berhubung Video Tular Konvoi Kereta Mewah, Halang Lalu Lintas

M Update, 21/03/2022 – PDRM menjalankan siasatan susulan video tular memaparkan kumpulan konvoi kereta mewah yang berhenti di Kilometer 34, Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan, berhampiran susur keluar Sedenak, sehingga menghalang lalu lintas, empat hari lepas.

Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow berkata kejadian berkenaan berlaku pada pukul 6.10 petang, Jumaat lepas.

Susulan daripada itu, satu laporan telah dibuat di Balai Trafik Iskandar Puteri pada 10.11 malam, hari yang sama.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada sebuah pacuan empat roda Ford Ranger yang cuba memotong konvoi kumpulan kereta mewah secara berbahaya sebelum melanggar salah sebuah kereta itu ketika memasuki lorong kiri. 

“Akibat pelanggaran itu, kumpulan kereta mewah terbabit bertindak memberhentikan kenderaan mereka di tengah-tengah lebuh raya berikutan rasa tidak berpuas hati dan menyebabkan berlaku perselisihan faham di antara mereka di lokasi kejadian.”

Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan (Merusuh) yang boleh membawa hukuman dua tahun penjara atau denda dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh membawa hukuman maksimum lima tahun penjara dan denda maksimum RM15,000, jika disabit kesalahan. 

Terdahulu, video berdurasi 45 saat itu memaparkan aksi pemanduan secara berbahaya oleh sebuah pacuan empat roda Ford Ranger yang cuba memotong kumpulan konvoi kereta mewah berkenaan di lorong kiri sebelum melanggar salah sebuah daripadanya.