M Update, 17/04/2019 – Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) Indonesia mengumumkan, ia akan menjadualkan pengundian semula di Kuala Lumpur dan melanjutkan pemilihan luar negara di Sydney, Australia.
Penemuan kertas undi bertanda di Selangor, menjurus dakwaan penipuan undi dan sejumlah besar kehadiran pengundi luar negara di sebuah stesen pengundian di Sydney, Australia mengakibatkan stesen berkenaan terpaksa ditutup sebelum semua pengundi dapat membuang undi.
Berkaitan kes di Malaysia, Pengerusi KPU, Arief Budiman menerusi laman web The Jakarta Post berkata, suruhanjaya itu perlu menentukan jumlah pengundi di Kuala Lumpur yang sudah mengundi menerusi khidmat pos, kumpulan pengundi dipercayai terbabit dalam penipuan.
Terdahulu semalam, Agensi Pengawal Selia Pilihan Raya (Bawaslu) mencadangkan satu undian semula diadakan di Kuala Lumpur untuk lebih 300,000 pengundi.
Ketua Bawaslu dikenali Abhan berkata, agensi itu juga mencadangkan supaya KPU tidak mengesahkan semua undi bertanda yang dihantar menerusi pos.
Agensi itu juga meminta KPU membuka semula stesen undi di Sydney untuk ribuan pengundi yang gagal mengundi menjelang jam 6 petang waktu tempatan Sabtu lalu, apabila pihak berkuasa pilihan raya bertegas menutup stesen pengundian.
Pesuruhjaya KPU, Ilham Saputra berkata, stesen undi di Sydney Town Hall terpaksa ditutup seperti dijadualkan, oleh kerana jawatankuasa menyewa premis itu sehingga jam 6 petang waktu tempatan.
Pesuruhjaya Bawaslu, Fritz Edward Siregar mempertikaikan, pengundi yang sedang berbaris seharusnya dibenarkan mengundi walaupun selepas stesen undian ditutup.
“Kita perlu mengesahkan dengan syarikat pencetak jika mereka berupaya mencetak lebih banyak kertas undi. Kemudian KPU akan menyusun, melipat dan mengagihkannya menerusi pos ke Sydney.
“Kami akan mengesahkan jumlah pengundi yang masih berbaris ketika stesen pengundian ditutup kerana ia akan mengenal pasti jumlah kertas undi yang perlu disediakan,” kata Arief petang semalam.
Bawaslu dan pegawai KPU sudah menyoal tujuh anggota Jawatankuasa Pilihan Raya Luar Negara (PPLN), tiga anggota tempatan Bawaslu, dua pemantau pilihan raya dan seorang individu di Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur dalam siasatan terhadap kes di Malaysia.
Pasukan penyiasat juga menemui bukti sesetengah anggota PPLN di Kuala Lumpur gagal menganjurkan pilihan raya menurut peraturan dan menggesa KPU memecat dua kakitangan PPLN iaitu Krishna Ku Hannan dan Djadjuk Natsir.
“Ia sudah dibuktikan bahawa PPLN Kuala Lumpur gagal menjalankan tugas secara objektif, telus dan profesional dalam menganjurkan pilihan raya,” kata Abhan.
Katanya, pasukan penyiasat sudah mengunjungi lokasi dengan kertas undi bertanda ditemui iaitu sebuah kedai kosong di Taman Universiti Sungai Tangkas, Bangi dan sebuah rumah di Bandar Baru Bangi. Pasukan itu juga memohon akses untuk memasuki dua lokasi terbabit namun tidak menerima kelulusan Polis Diraja Malaysia. -Agensi