Warning: filesize(): stat failed for /home/mupdatec/public_html/wp-content/cache/db/options/b15/c50/b15c50aaedc6b3eb8c860da8cdb11b88.php in /home/mupdatec/public_html/wp-content/plugins/w3-total-cache/Cache_File.php on line 157
Jika ratifikasi Statut Rom, empat jenayah jadi undang-undang Malaysia - M-Update

Input your search keywords and press Enter.

Jika ratifikasi Statut Rom, empat jenayah jadi undang-undang Malaysia

M Update, 18/4/2019 – Empat jenayah antarabangsa iaitu pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang, jenayah kemanusiaan dan pencerobohan akan dijadikan undang-undang tempatan sekiranya Malaysia meratifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata selepas diratifikasi, ia harus dijadikan undang-undang negara sama ada menerusi pindaan akta sedia ada atau mewujudkan akta baharu, tanpa memerlukan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Ia (Statut Rom) adalah di peringkat antarabangsa. Selepas diratifikasi (jika tidak tarik diri), keempat-empat jenayah antarabangsa itu harus dijadikan jenayah dalam mahkamah tempatan. Adakah ia perlukan pindaan Perlembagaan, jawapannya tidak. Selepas kita wujudkan undang-undang atau akta itu, andainya berlaku ada rakyat atau pemimpin tetapi bukan Agong, bukan raja terbabit dengan jenayah itu (antara empat jenayah), mahkamah Malaysia boleh mendakwa dia (suspek).

Kalau mahkamah Malaysia mendakwa mereka, ICC tak akan masuk campur, ” katanya dalam program Ruang Bicara di BERNAMA News Channel, di sini, malam ini. Jelas Saifuddin, prinsip ICC adalah sebagai mahkamah pilihan terakhir apabila negara yang terbabit secara jelas tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap pesalah terbabit.

Katanya, selagi negara itu berkehendakkan dan berkemampuan mengadili dan seterusnya menghukum pesalah terbabit, ia boleh bertindak sendiri dan ICC tidak akan campur tangan. Pada 5 April lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengumumkan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom berikutan kekeliruan yang timbul dari segi politik dalam kalangan masyarakat.

Sambil menegaskan keputusan itu bukan disebabkan Statut berkenaan membahayakan, Perdana Menteri berkata, Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC yang ditandatangani Malaysia pada 4 Mac lalu, boleh ditarik semula sebelum Jun tahun ini. ICC adalah mahkamah jenayah antarabangsa pertama berasaskan perjanjian, bertujuan menamatkan kekebalan terhadap pelaku jenayah paling serius yang membimbangkan masyarakat antarabangsa membabitkan jenayah pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang, jenayah kemanusiaan dan pencerobohan.

Saifuddin berkata, Malaysia boleh kembali menandatangani ICC sekiranya berhasrat berbuat demikian pada masa akan datang kerana keputusan menyertai ICC adalah bersifat sukarela. Sebelum ini, sesetengah pihak mendakwa sekiranya Malaysia menerima Statut Rom, akan wujud kes bertentangan, misalnya berlaku kes hak asasi manusia di negara ini dan akan mengakibatkan Malaysia hilang kebebasan menggubal dasar serta undang-undang sendiri. – BERNAMA

Leave a Reply