Input your search keywords and press Enter.

Hanya 1 Kedai Mamak di Negeri Sembilan Mempunyai Sijil Halal

M Update, 24/4/2019 – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) semalam mengesahkan hanya satu daripada 150 kedai mamak yang beroperasi di negeri ini mempunyai sijil halal Malaysia.

Bagaimanapun, Pengarahnya, Mohd Zaidi Ramli berkata, pihaknya tidak menghalang jika ada pelanggan yang mahu ke restoran terbabit berikutan kedai mamak diminati ramai.

Hanya satu sahaja yang ada sijil halal Malaysia dan ada sebuah lagi sedang proses permohonan. Pemilikan sijil halal ini penting bagi memastikan kualiti penyediaan makanan termasuk kandungan dalam makanan digunakan itu adalah bersih, selamat dan yang penting mengikut syarak.

Dalam pada itu, Zaidi juga menyarankan semua restoran makanan termasuk restoran Melayu yang beroperasi di negeri ini mendapatkan sijil halal bagi mengelakkan keraguan pengunjung. Walaupun restoran Melayu ini tidak memiliki sijil halal, tetapi kita sudah tahu bahawa mereka ini pasti orang Islam, dan penyediaan makanan juga Insya-ALLAH berlandaskan syarak.

Tetapi untuk menguatkan lagi kualiti jaminan penyediaan makanan dan kebersihan makanan, kita harap semua restoran makanan buat permohonan sijil halal,” katanya. Menurutnya, sepanjang tempoh empat bulan pertama tahun ini, sebanyak lima aduan diterima jabatan berkenaan mengenai keraguan persijilan halal.

Pemantauan bersama agensi kerajaan yang lain akan dilakukan dari semasa ke semasa untuk memastikan premis makanan di negeri ini mempunyai sijil halal, selain meningkatkan kesedaran kepada pengusaha makanan untuk mendapatkan sijil halal Malaysia yang sah. – SH Online

Leave a Reply