M Update, 25/04/2019 – Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik, Perundangan dan Keselamatan Indonesia Wiranto berkata semalam, tuduhan bahawa kerajaan dan pasukan keselamatan bersekongkol dengan agensi pilihan raya untuk menjalankan penipuan sistematik ketika pilihan raya minggu lalu adalah ‘tidak berasas’ dan mengancam keselamatan negara.
Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo mengisytiharkan kemenangannya selepas keputusan tidak rasmi daripada peninjau persendirian memberikan beliau kira-kira 55 peratus undian popular manakala pencabarnya, bekas jeneral Prabowo Subianto mengadu penipuan meluas dan bertegas dirinya menang.
Sampel undian ‘kiraan pantas’ oleh peninjau dipercayai tepat dalam pilihan raya sebelumnya, walaupun keputusan rasmi tidak akan diumumkan sehingga 22 Mei ini.
Pada 2014, Prabowo juga mendakwa menang pada hari pengundian sebelum mencabar keputusan di Mahkamah Perlembagaan yang mengesahkan kemenangan Jokowi.
Tahun ini, kempen Prabowo berkata, ia menemui percanggahan dalam senarai pengundi dan mendakwa penipuan meluas berlaku di kawasan seperti Jawa Timur, mendakwa pegawai menanda kertas undi untuk memilih Jokowi. Media sosial juga dibanjiri dengan teori konspirasi.
“Tuduhan itu sengaja menimbulkan perbalahan dan tidak masuk akal serta fitnah, tidak benar dan tidak berasas. Ia sengaja ditujukan untuk melemahkan kerajaan dan penganjur pilihan raya,” kata Wiranto dalam sidang media.
Katanya, suruhanjaya pilihan raya (KPU) dan agensi pengawal selia pilihan raya adalah badan bebas dengan pesuruh jaya diundi kedudukan mereka oleh Parlimen.
“Dengan penjelasan ini, saya berharap rakyat tidak mempercayai berita mengelirukan atau lebih-lebih lagi memprovokasi untuk menjalankan aktiviti yang mungkin menggugat keselamatan negara,” kata Wiranto lagi.
Beliau berkata, pilihan raya tahun ini, terbesar dalam sehari di dunia, dijalankan secara aman dan telus dengan banyak parti memantau proses itu termasuk pemerhati asing.
Wiranto memuji pegawai pilihan raya dan kakitangan keselamatan bertugas ketika pilihan raya Rabu lalu, menambah 139 kakitangan pilihan raya meninggal dunia akibat keletihan ketika menganjurkannya.
Menurut laman web KPU, Jokowi memperoleh 55.74 peratus undi manakala Prabowo 44.26 peratus berdasarkan undi dikira di 236,975 stesen pengundian daripada sejumlah 813,350 di seluruh Indonesia.
Penganalisis politik berkata, saiz undi didahului Jokowi menjejaskan dakwaan pembangkang bahawa undian dicuri, namun menambah penyokong Islam Prabowo tidak mustahil mengadakan bantahan jalanan untuk menentang keputusan.
Kempen Prabowo berkata, ia mungkin bergantung kepada ‘kuasa rakyat’ jika aduannya tidak ditangani. Laporan media berkata, ribuan polis tambahan dikerah di ibu kota ini bagi mengawal keselamatan. -Reuters