Input your search keywords and press Enter.

Ajal Dihempap Traktor

M Update, 26/4/2019 – Lelaki maut selepas traktor dipandunya terbalik dan menghempapnya di kawasan ladang prolip Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun, semalam.

Dalam kejadian 4.35 petang itu, Rahim Rahman, 39, dari Kampung Mahsuri Tok Kah meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan. Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa baru selesai menjalankan kerja meracun lalang.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang ke pejabat, traktor itu dipercayai terbabas ketika menuruni bukit curam. Akibat kejadian itu, traktor terhumban ke dalam gaung sedalam lima meter sebelum terbalik dan menghempapnya. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat AMBS, Penolong Penguasa Bomba Zul Azman Jamaludin berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.50 petang sebelum dia bersama enam anggota bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian pada 5.14 petang, mangsa berada di bawah jenteranya yang terbalik. Kami menghadapi kesukaran untuk mengeluarkan mayat mangsa dan terpaksa menggunakan jengkaut bagi mengangkat traktor itu. Mayat mangsa berjaya dikeluarkan 8.50 malam tadi sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

Katanya, siasatan polis mendapati tiada saksi yang melihat bagaimana kejadian itu berlaku. Kejadian itu hanya disedari seorang pekerja ladang yang kebetulan melalui kawasan itu sebelum dia ternampak mangsa di bawah traktor yang terbalik itu.

Pekerja terbabit memaklumkan kejadian itu kepada pihak pengurusan syarikat sebelum menghubungi bomba dan polis,” katanya. Menurut Baharudin, jenazah mangsa dituntut keluarganya 2 pagi tadi sebaik selesai bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – HM Online

Leave a Reply