M Update, 26/4/2019 – Penyanyi popular Black Hanifah, 32, patah tangan kiri selepas terbabit dalam kemalangan ketika mengadakan latihan menunggang motosikal lasak di Petaling Jaya, baru- baru ini. Black mula aktif dalam sukan permotoran lasak ini sejak dua tahun lalu selepas diperkenalkan rakannya yang juga pelawak, Achey.
Black ketika ditemui berkata, itu kali pertama dia terbabit dalam kemalangan dan mengalami kecederaan sedemikian. Ketika kejadian, Black sedang berlatih di trek baru motosikal lasak dalam acara anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Persatuan Motosikal Lasak Malaysia.
“Ketika melompat dari tanjakan, motosikal yang saya tunggang hilang kawalan menyebabkan saya terjatuh,” katanya.
Menurut penyanyi lagu Pok Pet ini, dia dibawa ke hospital dan doktor menyarankan supaya dia menjalani pembedahan. Namun, saya minta untuk melakukan rawatan tradisional terlebih dahulu. Alhamdulillah, selepas empat hari, saya dapat lihat keadaan tangan saya beransur baik dan bengkaknya pun semakin berkurangan.
Insya-Allah, dalam masa dua minggu hingga sebulan, saya sudah boleh tanggalkan anduh yang saya pakai sekarang,” katanya. Black berkata, walaupun terpaksa memakai anduh, itu tidak menjejaskan jadual kerjanya kerana dia masih boleh membuat persembahan.