M Update, 26/04/2019 – Adiwira Avengers yang berkumpul buat kali terakhir berjaya memusnahkan semua pesaing, malah sebelum ia ditayangkan di pawagam Amerika Syarikat.
‘Avengers: Endgame’, terakhir dalam 22 siri filem itu yang memaparkan adiwira Marvel Universe, memecahkan rekod sebaik tayangannya di Asia, terutama di China, kata Disney yang memiliki Marvel Studios semalam.
Kutipan filem itu mencecah AS$169 juta (RM780 juta) kelmarin, hari pertama tayangan di 25 negara termasuk China, Australia dan beberapa negara di Eropah.
Ia memecahkan rekod kutipan terbanyak dalam masa sehari di China, Australia, New Zealand dan beberapa negara lain, kata Disney, yang membeli Marvel Studios pada 2009.
Tayangan filem itu di China adalah paling menguntungkan dengan AS$107.5 juta (RM497 juta).
Di Perancis, ‘Endgame’, mencatatkan kutipan terbesar bagi filem Marvel.
Ia turut menetapkan rekod hari pembukaan keseluruhan di Belanda, Greece dan Mesir.
Perangkaan menunjukkan ‘Endgame’ bakal mengatasi kutipan dijana episod terdahulu dalam siri ‘Avengers’ iaitu ‘Infinity War’, yang mencatat keuntungan paling lumayah tahun lalu.
Filem itu akan ditayangkan di AS dan Kanada hari ini, dengan tayangan di beberapa bandar raya terpilih semalam.
Pakar meramalkan siri akhir ‘Avengers’ yang menerima pujian itu, menampilkan barisan pelakon handalan seperti Robert Downey Jr, Scarlet Johansson dan lain-lain, akan memperoleh AS$200 hingga AS$260 (RM924 juta hingga RM1.2 bilion) pada pembukaan hujung minggu di Amerika Utara. — AFP