Input your search keywords and press Enter.

Wanita, Teman Lelaki Ditahan Kes Buang Bayi

M Update, 26/04/2019 – Seorang wanita yang disyaki membuang bayinya di Masjid Lama Ara Kuda, di sini, Selasa lalu, ditahan bersama teman lelaki, semalam.

Pasangan berusia 28 tahun itu ditahan di Hospital Kulim, Kedah, pada jam 3.30 petang sejurus wanita berkenaan selesai menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata siasatan terhadap wanita itu mendapati suspek mengaku bersalin di rumah ibunya dekat Kulim sebelum membuang bayi berkenaan di masjid terbabit.

“Suspek juga merahsiakan kandungan daripada pengetahuan ibunya sehingga dia melahirkan bayi perempuan itu.

“Dia yang kematian suami pada 2015, mengenali seorang lelaki melalui laman media sosial dan mereka menjalinkan hubungan intim lebih setahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, semakan polis mendapati teman lelaki suspek memiliki dua rekod jenayah lampau sehingga dibuang negeri.

Kedua-dua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Kelmarin, nenek kepada bayi malang itu direman bagi membantu siasatan kerana disyaki bersubahat dengan anak perempuannya untuk membuang bayi berkenaan.

Wanita berusia 57 tahun itu ditahan di hadapan Balai Polis Kulim Hi-Tech, kira-kira jam 1 pagi.

Dalam kejadian Selasa lalu, jemaah yang mahu menunaikan solat zohor di Masjid Lama Ara Kuda menemui seorang bayi perempuan yang hanya berbalut kain batik di dalam sebuah kotak.

Bagaimanapun, bayi itu berada dalam keadaan baik sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Leave a Reply