Input your search keywords and press Enter.

Jokowi Mahu Pindah Ibu Negara Keluar Dari Jawa

M Update, 30/04/2019 – Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo memutuskan untuk memindahkan ibu kota negara keempat paling ramai penduduk di dunia itu keluar dari pulau Jawa yang padat, tetapi belum memuktamadkan lokasi baru, kata Menteri Perancangan, hari ini.

Bagaimanapun, antara yang menjadi calon ibu negara baru Indonesia adalah Palangkaraya di Kalimantan Tengah terletak di Borneo, lapor agensi berita Antara tahun ini.

Menurut Antara, pihak berkuasa di situ menyediakan kawasan seluas 300,000 hektar jika ia dipilih sebagai hab baru kerajaan.

Keputusan Jokowi dibuat tidak sampai dua minggu selepas pusat pungutan suara swasta berkata beliau memenangi pilihan raya presiden 17 April lalu, walaupun keputusan rasmi cuma akan diketahui pada 22 Mei.

Pencabarnya, Prabowo Subianto, juga mendakwa sudah menang.

“Presiden memilih menempatkan semula ibu kota di luar Jawa, satu keputusan penting,” kata Bambang Brodjonegoro, kepada sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet.

Brodjonegoro berkata, pentadbiran masih belum memilih lokasi baru, tetapi mencari tempat di wilayah timur negara itu.

Selepas pembukaan mesyuarat Kabinet, Jokowi menegaskan keperluan memikirkan masa depan.

“Kita perlu berfikir dengan cara berwawasan untuk kemajuan negara dan memindahkan ibu kota memerlukan persediaan menyeluruh dan terperinci,” katanya.

Ibu negara Indonesia, Jakarta, mempunyai lebih 10 juta penduduk, tetapi penduduk bandar sekitarnya yang tiga kali lebih ramai menambah kesesakan teruk di bandar raya itu.

Brodjonegoro juga berkata, kerugian ekonomi disebabkan kesesakan lalu lintas di Jakarta mencecah 100 trilion rupiah (RM29.1 bilion).

Jakarta yang terletak di kawasan rendah itu juga terdedah kepada banjir dan semakin tenggelam disebabkan ekstrak berlebihan air bawah tanah.

Dalam membuat keputusan itu, Jokowi turut mengambil kira fakta hampir 60 peratus daripada 260 juta rakyat Indonesia tinggal di Jawa dan aktiviti ekonomi bertumpu di situ.

Brodjonegoro tidak menganggarkan kos pemindahan itu tetapi berkata presiden mengarahkan kementerian kewangan membuat skim yang membolehkan pembabitan pelabur persendirian.

Katanya, memindahkan ibu kota mungkin mengambil masa sehingga 10 tahun, menyatakan contoh seperti di Brazil dan Kazakhstan. – REUTERS

Leave a Reply