Input your search keywords and press Enter.

Calon Presiden Wujud ‘Bilik Perang’ Kira Undi

M Update,01/05/2019 – Dalam sebuah blok bangunan pejabat di ibu kota ini, penyokong muda Presiden Indonesia Joko ‘Jokowi’ Widodo duduk memandang skrin untuk mengira gambar kiraan undi dari stesen pengundian, dua minggu selepas pilihan raya bagi mengetuai negara demokrasi ketiga terbesar dunia.

Kempen penentang menubuhkan operasi mereka sendiri, digelar ‘bilik perang’ untuk mengesahkan kiraan selepas pencabar Jokowi, Prabowo Subianto, mempertikaikan kiraan tidak rasmi oleh peninjau persendirian yang memberi beliau di hadapan dengan 10 mata.

Jeneral bersara Prabowo berkata, tinjauan meletakkan beliau dengan 62 peratus undi dan mendakwa penipuan meluas, meningkatkan prospek cabaran perundangan apabila keputusan rasmi dikeluarkan bulan depan serta risiko bantahan jalanan.

Pada 2014, Prabowo juga mengisytiharkan kemenangannya sebelum mencabar keputusan di Mahkamah Perlembagaan yang mengesahkan kemenangan Jokowi.

Kali ini media sosial dibanjiri teori konspirasi, mempersoalkan neutraliti suruhanjaya pilihan raya (KPU) dan agensi pengawal selia pilihan raya (Bawaslu).

“Ada kebimbangan meningkat berhubung proses pilihan raya kali ini kerana wujud usaha berterusan untuk menghakis kepercayaan terhadap KPU menggunakan maklumat palsu dan salah,” kata Pengarah Lowly Institute, kumpulan pemikir Australia untuk projek Asia Tenggara, Ben Bland.

Bagaimanapun, katanya ketelusan kiraan undi dan kepercayaan awam terhadap agensi pilihan raya Indonesia seharusnya memastikan, pada akhirnya, keputusan akan dilihat sebagai sah.

Kiraan undi dijalankan secara manual di Indonesia dan keputusan itu diisi pada borang yang dtampal di stesen undi dengan ‘saksi rasmi’ termasuk daripada parti, mengambil gambar borang terbabit.

Sebuah pertubuhan bukan partisan digelar Kawal Pemily atau Mengawasi Pilihan Raya, menggunakan 45,000 sukarelawan untuk menghantar gambar borang di laman web mereka.

Pengasas bersama kumpulan itu, Elina Ciptadi berkata, kira-kira 30 peratus data dimasukkan pengendali untuk memastikan ia menyamai keputusan rasmi.

“Cara kita bekerja, setiap orang mengesahkan tugas orang lain,” kata Elina menambah sebarang percanggahan akan dilaporkan kepada KPU, yang amat responsif.

Calon gandingan Prabowo, Sandiaga Uno berkata, kempennya menjalankan pengesahan undiannya sendiri.

“Ini adalah sebahagian usaha kami untuk memastikan pilihan raya jujur dan adil kerana bagi Prabowo dan saya, mandat rakyat perlu dipenuhi,” katanya kepada media semalam.

Dalam ‘bilik perang’ Jokowi, sukarelawan, sesetengahnya ada kaitan dengan parti menyokong beliau dibayar Rp4 juta (RM1,156.86) sebulan untuk bekerja syif 12 jam mengira undi.

Kiraan KPU hari ini berdasarkan 55 peratus daripada 813,350 stesen undi meletakkan Jokowi di hadapan dengan 56.13 peratus dan Prabowo 43.87 peratus. -Reuters

Leave a Reply