Input your search keywords and press Enter.

Rakan strategik kereta nasional ketiga Malaysia


Bila berkata tentang kereta nasional terdapat beberapa pelabur swasta dan 145 vendor tempatan menunjukkan minat sangat tinggi bagi projek berkenaan.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof menyatakan bahawa kini kerajaan berada peringkat akhir untuk memuktamadkan keputusan dalam memilih rakan strategik bagi pembangunan projek tersebut.

Beliau berkata, proses pemilihan kini sedang dijalankan dan perkara itu akan diumumkan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak lama lagi.

“Saya tidak boleh memperincikan mengenai perkara itu kerana ia akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri. Tunggu dan lihat,”

“Malaysia memiliki banyak kepakaran terutama pembinaan kereta. Oleh itu kita akan menggunakan kepakaran yang sedia ada,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan belum memutuskan konsep kereta nasional ketiga yang akan dibangunkan sehingga perbincangan mengenainya selesai dimuktamadkan.

“Kita masih terbuka untuk menerima cadangan konsep kereta itu. Ia boleh jadi kereta hibrid, elektrik atau sebagainya. Ia boleh jadi apa-apa saja.

“Bagaimanapun, kerajaan masih kekal dengan keputusan untuk tidak terbabit dengan pembiayaan dana bagi projek itu. Ia akan dipacu oleh sektor swasta kerana kita tidak mahu timbul sebarang masalah sehingga terpaksa menanggung beban,” katanya.

Sementara itu, katanya, kementerian juga kini sedang mengumpul maklum balas daripada rakyat bagi menyiapkan Rangka Kerja Keusahawanan Nasional (NEF).

“Polisi penuh mengenai rangka kerja itu dijangka akan dikeluarkan pada suku ketiga tahun ini,” katanya.

NEF turut memberi penekanan mewujudkan sumber alternatif kewangan kepada ekosistem keusahawanan.

Leave a Reply