Input your search keywords and press Enter.

Lahir Di Malaysia Bukan Automatik Dapat Jadi Warganegara

M Update, 30/4/2019 – Kelahiran di Malaysia tidak membolehkan seseorang individu memperoleh kewarganegaraan Malaysia secara automatik.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata penyelesaian isu kanak-kanak tidak mempunyai dokumen pengenalan diri di Sabah perlu memenuhi syarat ditetapkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ia selaras peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Citizenship Rules 1964, taraf kewarganegaraan seseorang individu ditentukan berdasarkan taraf kewarganegaraan ibu bapa kandung dan status perkahwinan yang sah mengikut undang-undang yang berkuat kuasa ketika kelahiran,” katanya.

Muhyiddin berkata, berhubung tindakan kementerian ke atas dakwaan ada 500,000 penduduk di Sabah yang tidak memiliki kewarganegaraan, kerajaan menggiatkan tindakan penguatkuasaan serta pengusiran ke atas pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah. Katanya, seramai 581,085 pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah diusir dari negara ini yang dilaksanakan bermula dari 1990 sehingga 18 April lalu.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata mengenai permohonan kewarganegaraan suami warganegara asing kepada isteri warganegara Malaysia, setiap permohonan diterima kementeriannya akan diproses dengan teliti. Katanya, proses itu untuk memastikan setiap permohonan memenuhi syarat dan peruntukan ditetapkan dalam Bahagian III, Perlembagaan Persekutuan, Citizenship Rules 1964 dan perundangan yang berkuat kuasa.

Beliau berkata, permohonan kewarganegaraan oleh suami bertaraf bukan warganegara kepada isteri bertaraf warganegara Malaysia adalah melalui naturalisasi di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan. Dalam hal ini, pertimbangan permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan adalah berdasarkan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP).

SOP itu diperincikan daripada peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Citizenship Rules 1964 iaitu memenuhi tempoh pemastautinan yang dikira daripada pegangan kad pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR) selama 12 tahun,” katanya. – BH Online

Leave a Reply