Input your search keywords and press Enter.

Mesyuarat pertama Jawatankuasa Malaysia-Singapura capai kejayaan

M Update, 15/5/2019 – Mesyuarat pertama Jawatankuasa Malaysia-Singapura mengenai Perbatasan Sempadan Maritim yang diadakan di sini semalam mencapai kejayaan, menurut Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Luar Malaysia (MOFA), Datuk Seri M Shahrul Ikram Yaakob, dan Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura, Chee Wee Keong, menurut kementerian dalam laman Facebooknya semalam.

Turut menghadiri mesyuarat itu ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Zainol Rahim Zainuddin; Ketua Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Maritim, Kementerian Luar Malaysia, Dr Adina Kamarudin; dan wakil dari pelbagai agensi di Malaysia dan Singapura.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada 14 Mac, Malaysia dan Singapura akan melaksanakan lima cadangan untuk menyelesaikan isu-isu maritim membabitkan had pelabuhan kedua-dua negara. Kedua-dua negara bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa untuk memastikan pelaksanaan empat cadangan pertama dalam tempoh satu bulan, dan bahawa rundingan untuk perbatasan sempadan maritim di kawasan itu akan bermula dalam tempoh satu bulan selepas pelaksanaan sedemikian.

Sekiranya jawatankuasa itu tidak dapat mencapai penyelesaian secara aman mengenai perbatasan, Malaysia dan Singapura mungkin bersetuju secara bersama untuk menggunakan prosedur melalui pihak ketiga antarabangsa bagi penyelesaian mengikut terma yang dipersetujui bersama oleh kedua-dua pihak.

Bermula 8 April, Malaysia dan Singapura masing-masing menggantung pelaksanaan had pelabuhan yang bertindih dan menggunakan had pelabuhan yang berkuat kuasa, masing-masing sebelum 25 Oktober 2018 dan 6 Disember 2018. – BERNAMA

Leave a Reply