Input your search keywords and press Enter.

Ramadan & Syawal Tanpa Adib

M Update, 21/5/2019 – Bagaikan satu mimpi, sayu sangat yang dirasakan oleh kedua-dua orang tua Adib atas pemergiannya. Makin terasa kini lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan dan juga bakal menyambut Syawal yang bakal tiba.

Tempoh lima bulan pemergian Adib, 25 tahun, yang meninggal dunia akibat kecederaan ketika rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Seafield, Subang Jaya bermula 26 November lalu dirasakan seperti baru semalam berlaku.

Siapa sangka tanggal 27 November adalah hari terakhir dia menunaikan tugasnya sebagai anggota bomba sebelum berjuang untuk hidup akibat kecederaan sehingga menghembus nafas terakhir pada 17 Disember 2018.

Bagi bapa anggota bomba itu, Mohd Kassim Ab Rahim masih mengakui pemergian Adib itu sesuatu yang mengejutkan dan tidak mudah diterima.

Namun sebagai manusia, warga emas berusia 64 tahun ini percaya segalanya telah tertulis dan perlu reda.

Mohd Kassim dilihat sebagai seorang bapa yang tabah, cuba menyembunyikan kesedihannya itu di sebalik ketenangan raut wajahnya.

Namun jauh di sudut hatinya, Mohd Kassim dan ibu Adib mengakui masih terasa sunyi selepas kehilangan Adib yang merupakan anak ketiga daripada lima orang adik beradik.

Tahun ini juga pertama kali Ramadan disambut tanpa kelibat Adib yang sebelum ini akan pulang sesekali berbuka puasa bersama keluarga.

Kematian Adib masih mendapat perhatian seluruh masyarakat lebih-lebih prosiding inkues menentukan penyebab kematiannya masih berlangsung.

Sumber : Mstar Online

Leave a Reply