M Update, 23/5/2019 – Seorang pelayan di sebuah restoran stimbot mengalami lecuran teruk pada wajahnya apabila sup yang menggelegak meletup ketika dia cuba mengeluarkan pemetik api yang terjatuh ke dalamnya.
Dalam kejadian pada 15 Mei lalu di restoran Haidilao di Kunming, Yunnan itu, pemetik api pelanggan secara tidak sengaja terjatuh ke dalam periuk sup yang sedang menggelegak.
Rakaman menunjukkan pelayan wanita itu cuba menggunakan senduk untuk mengeluarkan pemetik api itu, apabila tiba-tiba sup berkenaan meletup dan menyebabkannya serta pelanggan terbabit disimbah cecair panas.
Menurut Daily Mail, suhu periuk berisi sup itu mungkin setinggi 200 celsius kerana dibiarkan mereneh. Pelayan dan pelanggan terbabit dibawa ke hospital untuk rawatan, lapor BTime.
Sementara itu, jurucakap Haidilao berkata, pelanggan terbabit mengalami lecuran ringan pada tangannya manakala pelayan itu semakin pulih.