Input your search keywords and press Enter.

Volvo Car Malaysia bawa masuk EV dua tahun lagi

Dalam tempoh dua tahun lagi Malaysia mungkin sudah bersedia atau separuh sedia untuk mempunyai infrastruktur yang mencukupi bagi menyokong industri kereta eletrik (EV). Pengarah urusan Volvo Car Malaysia Sdn Bhd Nalin Jain berkata pihaknya merancang untuk membawa masuk kereta eletrik pertamanya (EV) ke pasaran Malaysia dalam tempoh dua tahun akan datang.

Dalam tempoh tersebut, Malaysia mungkin mempunyai bilangan stesen pengecas yang mencukupi dan tempoh dua tahun dipilih kerana pada masa kini Malaysia masih kekurangan dari segi infrastruktur untuk menyokong keperluan EV.

Tambahan beliau, jumlah stesen pengecas yang ideal untuk dipasang di mana-mana negara ialah setiap jarak 150 kilometer kerana secara purata EV boleh berjalan sejauh 300 kilometer hingga 400 kilometer sebelum dicas semula.

Mengulas lanjut, Nalin Jain berkata, pihaknya juga tidak terburu-buru untuk membawa masuk EV kerana kereta elektrik plug-in hibrid (PHEV) yang dikeluarkan pihaknya sejak 2016 menerima sambutan menggalakkan daripada pengguna. Malah, Volvo adalah satu-satunya syarikat automotif di Malaysia yang memasang dan mengeksport PHEV.

“Kenderaan jenis PHEV ini sebenarnya bertindak sama seperti EV yang mana turut boleh dicas namun pada masa sama, jika kuasa pada baterinya sudah habis digunakan, ia akan beralih kepada penggunaan bahan api.

“Tiga model kami iaitu XC90, XC60 dan S90 adalah jenis PHEV. Memandangkan Malaysia dan banyak negara di Asia termasuk India masih belum mempunyai stesen pengecas yang mencukupi, maka pengguna tidak perlu risau jika kehabisan kuasa bateri kerana model ini boleh menggunakan bahan api juga,” katanya.

Ditanya mengenai prestasi jualan kereta Volvo pada tahun ini, Jain berkata, syarikat itu merekodkan pertumbuhan 90% jualan pada suku pertama tahun 2019 berbanding suku sama tahun lalu. Disamping itu, di sebalik kelembapan ekonomi dunia susulan pertikaian perdagangan di antara Amerika Syarikat-China ketika ini, beliau yakin Volvo masih mampu untuk mencatat jualan yang tinggi pada tahun ini dan mengatasi prestasi tahun lalu.

Pada tahun lalu, Volvo Car Malaysia merekodkan jualan sebanyak 1,384 unit kereta dan menyasar pertumbuhan dua angka pada tahun ini dipacu oleh pengenalan model baharu dan pengukuhan permintaan model sedia ada.

Leave a Reply