M Update, 24/05/2019 – Tiga lagi pendaki Gunung Everest maut, kata penganjur ekspedisi dan pihak berkuasa hari ini menjadikan jumlah korban sepanjang minggu ini tujuh akibat kesesakan luar biasa di puncak tertinggi dunia itu.
Sepanjang pendakian musim bunga tahun ini, Nepal mengeluarkan 381 permit bernilai AS$11,000 (RM46,000) setiap satu, mengakibatkan kesesakan di sepanjang laluan ke puncak selepas cuaca buruk memendekkan lagi jumlah hari pendakian.
“Dua lagi pendaki warga India maut di Everest semalam,” kata jurucakap Jabatan Pelancongan Nepal, Mira Acharya kepada AFP, sementara penganjur ekspedisi mengesahkan kematian ketiga.
Kalpana Das, 52 berjaya sampai ke puncak namun meninggal dunia tengah hari semalam dalam perjalanan turun akibat laluan yang sesak dibanjiri pendaki berhampiran puncak Gunung Everest.
Seorang lagi pendaki India, Nihal Bagwan, 27 juga maut dalam perjalanan turun dari puncak berkenaan.
“Dia tersekat dalam kesesakan selama lebih 12 jam dan kepenatan. Pemandu Sherpa terpaksa membawanya ke Kem 4 namun beliau gagal diselamatkan,” kata Keshav Paudel dari Peak Promotion.
Seorang pendaki Austria berusia 65 tahun, pula maut di sebelah Tibet, utara gunung berkenaan, kata penganjur ekspedisi.
Difahamkan mangsa meninggal dunia berhampiran puncak dalam perjalanan menuruni gunung berkenaan. – AFP