Input your search keywords and press Enter.

Hadis 40 Imam Nawawi Diperkenalkan Di Tabika Kemas

M Update, 14/05/2024 – Hadis 40 Imam al-Nawawi akan diperkenalkan di dalam kurikulum Pendidikan Islam Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara dijangka bermula Jun ini, kata Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata buat permulaan, pelaksanaan modul pengajaran hadis itu bakal membabitkan sebanyak 4,145 daripada 10,840 Tabika Kemas di seluruh negara sebelum diperluas ke semua tabika secara berperingkat pada tahun depan.

Program ini sudah dimulakan di peringkat Kementerian Pendidikan. Jadi Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhasrat ingin mengambil semangat daripada inisiatif Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk bukan sahaja melaksanakan (Hadis 40 Imam al-Nawawi) di peringkat sekolah rendah tetapi dimulakan di peringkat Tadika.

Asyraf Wajdi berkata berkata modul pembelajaran Hadis 40 Imam al-Nawawi juga seiring dengan inisiatif Program Tabika Pra Tahfiz yang telah dilaksanakan KKDW bermula tahun ini.

Sehubungan itu, latihan akan diberikan terlebih dahulu kepada guru bermula Jun depan. Pada masa sama guru di Tabika Kemas juga akan diberikan latihan berhubung Program Tabika Pra Tahfiz pada bulan Jun ini.

“Dengan adanya buku poket Hadis 40 Imam al-Nawawi, maka ia mudah diajar dan difahami oleh sesiapa sahaja dalam konteks pemahaman Hadis 40 sekali gus boleh dijadikan sebahagian daripada program pendidikan di peringkat Tabika Kemas,” katanya.

Buku Hadis 40 Imam Al-Nawawi mempunyai bahasa yang mudah serta setiap hadis berkenaan memiliki pengajarannya. ia juga merangkumi aspek pembinaan peribadi, sahsiah dan akhlak yang menjadi asas penting bagi setiap individu dalam memahami Islam itu sendiri.

Asyraf Wajdi juga turut berhasrat untuk melaksanakan modul pembelajaran Hadis 40 Imam al-Nawawi di lebih 300 institusi pendidikan Mara termasuk Maktab Rendah Sains Mara; GiatMara dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara.

Modul Hadis 40 Imam Nawawi tersebut sebelum ini dijadikan modul pengajaran Pendidikan Islam di sekolah di bawah Kementerian Pendidikan.