M Update, 13/6/2019 – Masihkah kita ingat kisah Al-Maunah pada tahun 2000? Ini merupakan pengalaman salah seorang pegawai komando Vat69 kita.
Beliau ialah Abdul Razak yang menerima pingat SP pada tahun 2001 – Ketika memasuki kawasan kubu kumpulan itu, beliau telah terserempak dengan timbalan presiden Al-Ma’unah, Zahit Muslim yang sedang mengambil air sembahyang.
“Apa yang terlintas di hati saya pada ketika itu ialah agar Zahit menyerah. Saya tidak henti-henti berdoa supaya beliau berbuat demikian tanpa perlu berlaku pertumpahan darah.
“Tiba-tiba Zahit terpandang saya yang sedang mengacu senapang ke arahnya. Dia terus memberi salam dan berkata jangan tembak kerana dia adalah mujahidin,” katanya.
Abdul Razak berkata salam Zahit itu dijawab dan menyatakan beliau tidak akan menembaknya dan meminta lelaki itu menyerah diri.
“Sebelum itu saya telah berunding dengan ketua kumpulan itu, Mohamed Amin Mohamed Razali dan dia bersetuju untuk menyerah diri dengan syarat dibenar bersembahyang dahulu,” katanya.
Abdul Razak berkata bagaimanapun selepas Mohamed Amin selesai bersembahyang, dia tiba-tiba melompat sambil berkata tidak akan menyerah diri dan sanggup mati syahid, dan perkataan syahid itu pula turut dilaung anggota kumpulan yang lain.
“Saya agak terkejut dengan situasi itu, namun bernasib baik selepas berbincang semula dengan Mohamed Amin, anggota kumpulan itu akhirnya bersetuju untuk menyerah diri secara aman,” katanya.
Abdul Razak berkata rundingan selama dua jam itu menghasilkan kejayaan bermakna kerana tiada setitis darahpun yang tumpah dan bersyukur adengan rampasan senjata itu berakhir dengan aman.
“Namun tragedi itu telah meninggalkan kesan menyedihkan apabila dua anggota keselamatan iaitu detektif Kpl R. Sagadevan dan Truper Mathew Anak Medan, yang menjadi tebusan, maut,” katanya.