M update, 14/6/2019 – Seekor anak gajah liar terperangkap hampir enam jam selepas terjatuh longkang sedalam hampir satu meter di Stesen Penyelidikan Getah di Jalan Kota Tinggi-Mersing, awal pagi tadi.
Suasana sayu jelas dirasai apabila melihat ibu gajah yang sebelum itu sedang bergerak bersama anaknya, tidak berganjak dari lokasi terbabit, sebaliknya mengeluarkan bunyi seolah-olah bersedih dengan kejadian yang berlaku.
Kakitangan stesen penyelidikan itu dan penduduk berhampiran turut berkumpul di lokasi menyaksikan kejadian itu tetapi tidak berani menghampiri untuk membantu.
Suasana sayu melihat keadaan gajah dua beranak itu bertukar ceria apabila ibu gajah berjaya menarik anaknya keluar dari longkang sambil diraikan orang ramai yang bersorak gembira.
Ibu dan anak gajah itu dilihat beredar dari kawasan longkang itu kira-kira jam 10 pagi ke arah kawasan paya dipercayai bagi menyertai kumpulan gajah lain. – BH Online