M Update, 14/06/2019 – Pelakon veteran Indonesia, Robby Sugara, meninggal dunia hari ini disebabkan serangan jantung, pada usia 69 tahun.
Berita kematian aktor handalan itu diumumkan anak lelakinya, Juan Bernard, menerusi media sosial.
Ketika ditemui di hospital di Cawang, Jakarta Timur, Juan mengesahkan berita itu.
“Bapa yang meninggal dunia jam 12.10 pagi ini kerana serangan jantung dalam perjalanan ke hospital,” katanya.
Anak keempat Robby, Patricia Grace, berkata bapanya mengalami serangan jantung sebanyak dua kali.
“Bapa pernah mengalami serangan jantung sebelum ini dan ini adalah kali kedua,” katanya.
Robby bergiat aktif dalam bidang perfileman Indonesia pada tahun 1970-an.
Antara filem yang pernah dibintanginya termasuk ‘Wajah Tiga Perempuan’, ‘Ratapan Anak Tiri II’, ‘Ke Ujung Dunia’. — Agensi