M Update, 17/06/2019 – Sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh dalam satu kemalangan membabitkan bas di kawasan pedalaman barat Venezuela, semalam.
Polis dalam satu laporan berkata, 14 mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala empat lagi menghembuskan nafas terakhir di hospital di Villa del Rosario ketika menerima rawatan.
“Kejadian ini turut mencederakan 29 yang lain,” kata polis.
Kemalangan itu berlaku di perkampungan terpencil di Zulia yang bersempadan dengan Colombia.
Siasatan awal mendapati, tayar kenderaan itu pecah ketika bas terbabit sedang dipandu laju.
Saksi yang ditemubual oleh akhbar tempatan Panorama dipetik sebagai berkata, bas berkenaan membawa 58 penumpang.
Jalan raya di Venezuela dianggap berbahaya kerana tidak diselenggara dengan baik manakala kenderaan dinaiki pengguna pula lazimnya sudah terlalu uzur dan tidak lagi selamat digunakan.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekitar 10,600 penduduk meninggal dunia akibat nahas jalan raya di Venezuela pada tahun 2016.
Kadar kematian akibat nahas jalan raya di negara itu adalah sebanyak 33.7 untuk setiap 100,000 rakyat, sekali gus meletakkan ia antara yang terburuk di dunia. – AFP