M Update, 09/07/2019 – Dua wanita dibelasah, dibogelkan dan dibakar hidup-hidup oleh orang ramai yang mendakwa mereka menyebabkan kematian seorang budak lelaki berusia 12 tahun.
Review Online melaporkan, mangsa Esther Mudziwa dan Sarah Hulumeni, 66, diperlakukan dengan kejam oleh sekumpulan orang apabila mayat Abelo Muila ditemui di sungai selepas hilang ketika bermain bersama rakan-rakannya pada bulan lalu.
Susulan penemuan mayat itu, kumpulan berkenaan melaksanakan hukuman mereka sendiri dengan menyerang dua wanita terbabit di kampung Ha-Mashau Misevhe, di Limpopo, Afrika Selatan, pada Jumaat lalu.
Daily Mirror memetik jurucakap polis, Brigadier Motlafela Mojapelo berkata: “Sekitar jam 10 malam, penduduk kampung menyuruh mangsa keluar dari rumah, menyerang dengan pelbagai objek, membogelkan mereka di khalayak umum sebelum membakar mereka sambil dikerumuni ramai.
“Ketika polis tiba di tempat kejadian, orang ramai sudah beredar. Seorang mangsa disahkan maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika di hospital.
“Selepas insiden mengerikan itu, siasatan polis mendapati kumpulan berkenaan berhimpun di halaman seorang lelaki berusia 79 tahun dan membakar semua tiga rumah miliknya. Lelaki berkenaan bagaimanapun berjaya melarikan diri tanpa kecederaan,” katanya.
Iol News melaporkan, polis menahan dua remaja, berusia 16 dan 17 tahun, atas dakwaan terbabit melakukan pembunuhan beramai-ramai pada Sabtu lalu.
Pesuruhjaya Polis Daerah, Leftenan Jeneral Nneke Ledwaba berkata, pihak berkuasa akan menahan mereka yang bertanggungjawab.
“Anggota masyarakat diingatkan supaya tidak melakukan perbuatan kejam, sebaliknya bekerjasama dengan polis,” katanya.