Input your search keywords and press Enter.

Elaun Sara Hidup Pelajar Tajaan JPA Dinaikkan

M Update, 14/06/2023 – Kerajaan bersetuju untuk menaikkan kadar Elaun Sara Hidup (ESH) pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi peringkat persediaan hingga Ijazah Lanjutan di dalam dan luar negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan kadar ESH ini adalah salah satu usaha kerajaan bagi menangani kenaikan kos sara hidup yang tinggi khususnya dalam kalangan pelajar-pelajar B40 yang tinggal di bandar-bandar besar negara pengajian.

Kenaikan RM100 tambahan kadar elaun itu akan mula dinikmati golongan pelajar berkenaan mulai 1 Julai ini.

Anwar juga berpesan agar para pelajar menggunakan duit tersebut dengan berhemah, jangan membazir dan jangan hisap vape (rokok elektronik).

Kenaikan elaun itu melibatkan kenaikan 15 peratus kadar ESH bagi pelajar tajaan JPA di luar negara, kecuali kepada pelajar Ijazah Pertama di United Kingdom (UK) yang telah dinaikkan pada 7 November 2022.

Selain itu ia melibatkan kenaikan RM100 kadar ESH sebulan bagi pelajar tajaan JPA di dalam negara mengikut peringkat pengajian.

Kenaikan kadar ESH ini melibatkan pertambahan implikasi kewangan dengan anggaran RM52.03 juta bagi tempoh enam bulan mulai Julai ini, yang akan memanfaatkan 43,595 orang pelajar tajaan JPA.

Bagi pelajar yang terlibat, mereka perlulah memanfaatkan elaun yang diberikan tersebut dengan sebaik mungkin dan jangan melakukan pembaziran.