M Update, 12/07/2019 – Keganasan terhadap perempuan di Mexico oleh anggota keluarga mereka meningkat secara mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya dari 2010 hingga 2014, kata laporan UNICEF.
Wakil UNICEF di Mexico, Christian Skoog berkata, remaja perempuan berdepan lebih banyak keganasan seperti rogol, gangguan dan penderaan di rumah berbanding lelaki.
Laporan UNICEF mengenai keganasan terhadap kanak-kanak di Mexico mendapati sejumlah 18,000 remaja perempuan didera anggota keluarga masing-masing pada 2010 dan jumlah itu meningkat hampir tiga kali ganda kepada 24,000 pada 2014.
Sekurang-kurangnya satu dalam setiap lima remaja berusia 15 hingga 17 tahun atau 700,000 mengalami keganasan keluarga pada tahun 2015, kata laporan itu lagi.
“Situasi ini semakin membimbangkan,” kata Skoog.
Keganasan terhadap wanita adalah masalah berterusan di Mexico yang memiliki jurang luas untuk semua isu berkaitan perbezaan jantina.
Lebih daripada 1,100 wanita dibunuh di Mexico bermula Januari hingga Mei tahun ini dengan hampir 370 daripada mereka maut dibunuh kerana jantina.
Menurut Skoog, perubahan dari aspek tingkah laku dan budaya amat perlu dalam membasmi masalah ini.
“Keganasan seperti ini dikesan berkurangan dalam kelompok masyarakat yang kurang mengambil berat soal perbezaan jantina.
“Masalah ini dapat dikurangkan dengan banyak jika kita menukar semua budaya lapuk ini,” katanya. – Reuters