Input your search keywords and press Enter.

Pengusiran Untuk Lindungi Kedaulatan, Jamin Kepentingan Negara

M Update, 22/03/2021 – Pengusiran semua diplomat Kedutaan Korea Utara di Malaysia, semalam, dibuat bagi melindungi kedaulatan dan menjamin kepentingan Malaysia.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata keputusan itu selaras Perkara 9 Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961. Beliau menegaskan, Kerajaan Malaysia terpaksa mengambil langkah itu sebagai tindak balas berikutan tindakan Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik kedua-dua negara secara sehala dan tidak bertanggungjawab.

“Hari ini, Malaysia sudah mengusir semua diplomat Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur, selari keputusan kementerian pada Jumaat lalu. Tindakan ini juga ialah suatu peringatan bahawa Malaysia tidak bertolak ansur terhadap sebarang usaha mencampuri hal ehwal dalaman dan badan kehakiman negara.

“Malah, Malaysia akan mengambil pendirian sedemikian jika wujud gerakan untuk tidak menghormati sistem urus tadbir serta berterusan mencetuskan ketegangan dengan meminggirkan segenap perundangan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jumaat lalu, kerajaan mengarahkan semua kakitangan diplomatik Kedutaan Korea Utara dan ahli keluarga mereka di Kuala Lumpur supaya meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam. Ia berikutan Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia selepas seorang rakyatnya yang menetap di negara ini, Mun Chol Myong, diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) untuk menghadapi pertuduhan kes pengubahan wang haram.

Chol Myong ditahan pihak berkuasa Malaysia pada 14 Mei 2019 susulan waran tangkap mengikut Seksyen 13(1)(b) Akta Ekstradisi 1992 atas dakwaan konspirasi pengubahan wang haram serta melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Dia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 13 Disember 2019.

Permohonan writ habeas corpus (penahanan salah) di Mahkamah Tinggi pada 29 Disember 2019 dan rayuannya di Mahkamah Persekutuan pada 8 Oktober tahun lalu, ditolak selepas mahkamah mendapati permohonan serta rayuannya tidak berasas bawah Akta Ekstradisi. – BH Online