M Update, 19/7/2019 – Empat remaja perempuan ditahan polis berhubung video yang viral seorang daripada mereka memijak al-Quran.
Kejadian itu dipercayai berlaku di Kusial, Tanah Merah dan viral di Facebook (FB) sejak petang semalam. Keempat-empat suspek berusia antara 17 hingga 18 tahun itu ditahan di sekitar daerah itu sejak 2 pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azmi Abu Kassim, berkata penahanan itu susulan laporan yang diterima pihaknya daripada kakak salah seorang suspek yang melihat video yang itu. Susulan laporan itu, operasi dijalankan dan polis menahan empat suspek perempuan termasuk yang memijak al-Quran dan perakam video dalam operasi di sekitar daerah ini.
Mereka kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini. Ditanya sama ada seorang remaja itu dipaksa bersumpah dengan memijak al-Quran itu, Azmi berkata perkara itu masih dalam siasatan polis. Katanya, mahkamah membenarkan semua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini untuk membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan,” katanya.
Video berdurasi tiga minit dan 13 saat yang tular di FB sejak semalam memaparkan perbuatan seorang remaja perempuan berusia belasan tahun yang memijak al-Quran sambil dirakam menggunakan telefon bimbit. Remaja perempuan itu berbuat demikian seperti mengangkat sumpah di depan seorang lagi rakan perempuannya. Kejadian itu dipercayai berlaku pada 13 Julai di tepi jalan berdekatan Jambatan Kusial Lama di sini.
Berdasarkan perbualan dalam dialek Kelantan itu, ia dipercayai berkaitan sama ada seorang remaja terbabit melakukan hubungan seks atau sebaliknya. – BH Online