M Update, 19/7/2019 – Malaysia mencapai tangga pertama dalam kalangan negara Asia Tenggara bagi Indeks Kebebasan Media 2019, menurut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurutnya, indeks itu juga meletakkan Malaysia di tangga 123 berbanding 145 negara di dunia. Ia antara pencapaian indikator antarabangsa yang diraih Malaysia hasil komitmen kerajaan terhadap agenda pencegahan rasuah, katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR). Komitmen kerajaan hari ini dalam meletakkan agenda pencegahan rasuah sebagai salah satu keutamaan telah membuahkan hasil,” katanya.
Dr Mahathir berkata, Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) yang dilaksanakan hampir enam bulan menunjukkan reaksi positif serta keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap keseriusan kerajaan dalam menangani permasalahan rasuah, integriti dan governans.
Menurut Kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan Pencegahan Rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Siri 13/2018, di mana JKKMAR dimaklumkan, persepsi rakyat terhadap keseriusan kerajaan dalam perkara itu meningkat sebanyak 11 peratus daripada 59.8 peratus pada tahun 2016 kepada 70.8 peratus pada tahun lepas, katanya.
Dr Mahathir dalam pada itu memaklumkan Akta Kebebasan Maklumat akan digubal bagi menggantikan Akta Rahsia Rasmi. Menurutnya, tempoh masa yang mencukupi harus diberikan kepada proses penggubalan undang-undang itu dengan memfokus kepada sesi libat urus dan ‘outreach’ yang mencukupi dengan masyarakat. – Bernama