Input your search keywords and press Enter.

Adakah E-Wallet patuh Syariah ?

Gambar Sekadar Hiasan

Ledakan revolusi industri 4.0 menyaksikan pelbagai teknologi terkini menggantikan urusan tradisional. Ia bukan hanya menyentuh aspek teknologi pengkomputeran dan komunikasi, bahkan menyerap dalam semua aspek kehidupan termasuk kejuruteraan, perubatan, sosial, ekonomi, kewangan serta politik.

Istilah ‘fintech’ merujuk kepada teknologi kewangan terkini dengan blok rantai (blockchain), teknologi lejar teragih, kecerdasan buatan (AI), Internet Benda (IOT), analisis data raya adalah sebahagian teknologi sedang mengadaptasi kewangan konvensional dan tradisional. Industri kewangan dan perbankan tidak lagi dilihat eksklusif dalam menyediakan produk kewangan komprehensif.

Apabila konsep pembayaran elektronik (e-payment) diperkenalkan, ia mempercepatkan banyak transaksi tradisional. Pengguna tidak perlu beratur panjang untuk tujuan pembayaran bil, yuran dan pemindahan, sebaliknya cukup melayari aplikasi atau web pembayaran bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Namun inovasi itu tidak terhenti begitu sahaja. Penggunaan e-payment masih ada kekangan kerana belum cukup pantas dan prosesnya memiliki birokrasi tersendiri kerana masih dipegang sektor perbankan. Pemain teknologi belum berpuas hati dengan sistem itu, sebaliknya mahu lebih cepat dan terus kepada pengguna.

E-dompet (E-wallet) diperkenalkan pemain teknologi yang menjadikan sebarang bentuk pembayaran semakin mudah. Pengguna perlu memiliki kod tersendiri dan pemindahan kepada pihak lain hanya menggunakan kod. Pengguna dan pedagang hanya perlu satu imbasan untuk memindahkan wang, sekali gus berperanan seperti dompet tradisional. Apabila pengguna membeli barang di kedai, pengguna memindahkan wang daripada dompet mereka ke dompet pekedai dalam bentuk maya.

Kecanggihan teknologi e-wallet memungkinkan inovasi masa hadapan. Tidak mustahil, kita tidak lagi memerlukan aplikasi dalam telefon bimbit, tetapi cukup cap jari atau retina mata untuk pemindahan wang. Teknologi blockchain menggunakan retina mata sebagai identiti sudah digunakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menghantar bantuan kemanusiaan bagi memastikannya telus, selamat dan sampai kepada pihak sepatutnya.

Namun, sejauh manakah teknologi e-wallet mematuhi prinsip syariah?

Islam tidak pernah menghalang sebarang bentuk teknologi baharu, bahkan mengiktiraf dan menggalakkan penggunaan akal pada tahap maksimum untuk kemaslahatan manusia. Islam memandu prinsip akal agar tidak bercanggah dengan kehidupan manusiawi. Apapun jenis teknologi dicipta, ia mesti bertujuan kebaikan kehidupan manusia, bukannya mencabar kekuasaan Tuhan.

Prinsip syariah dalam mualamat dan transaksi moden hari ini ialah halal selagi tidak mempunyai unsur riba, gharar (penipuan), judi, haram dan zalim. Ia tidak semestinya terikat akad seperti zaman dahulu. Evolosi dan inovasi manusia tetap perlu diraikan sesuai zamannya. Imam Malik RA menyatakan: “Setiap perkara yang dianggap jual beli oleh manusia adalah dikira jual beli.”

Apakah transaksi melalui e-wallet memiliki unsur boleh membawa kepada pengharamannya?

Sebelum membahaskan unsur itu, kita wajar meletakkan beberapa prinsip sebagai panduan. Pertama, setiap aplikasi e-wallet unik dan memiliki ciri tersendiri. Sudah pasti tahap sekuriti, kaedah pemindahan dan pengeluaran serta had berbeza.

Kedua, sejarah dan objektif kewujudannya juga berbeza. Tidak dinafikan asal penggunaan aplikasi terhad tetapi semakin berkembang dan keluar daripada maksud asal. Contohnya, Touch n Go asalnya terhad kepada pembayaran tol tetapi kini kaedah pembayaran meluas. Lazada asalnya platform jual-beli tetapi berkembang kepada e-wallet yang bukan sahaja untuk pembelian di platform terbabit.

Ketiga, e-wallet sejenis penyedia perkhidmatan prabayar. Untuk menggunakan e-wallet, kita perlu mengisinya dengan sejumlah wang dan akan terbit dengan nilai untuk membuat pembayaran. Umum mengetahui model perniagaan prabayar bukan baharu di negara ini, sebaliknya bermula lebih 30 tahun lalu.

Keempat, e-wallet tidak sama dengan deposit perbankan, meskipun masih menggunakan perkhidmatan perbankan bagi tujuan perekodan dan pembayaran. Bank Negara Malaysia (BNM) juga membezakan senarai bank dan syarikat dibenarkan untuk pengoperasian e-money (termasuk e-wallet).

Syarikat penyedia e-wallet tidak dibenarkan menggunakan wang deposit e-wallet untuk apa jenis tujuan melainkan transaksi dilakukan pengguna sahaja. Contohnya, A mendepositkan RM100 ke e-wallet tetapi tidak berbuat apa-apa, jumlah itu tidak boleh digunakan syarikat penyedia e-wallet untuk apa-apa tujuan. Ia perlu kekal dalam akaun khas milik pelanggan.

Sekiranya A melakukan transaksi pemindahan kepada B sebanyak RM100, barulah syarikat penyedia melakukan pemindahan deposit itu. Di situ mungkin syarikat penyedia e-wallet akan mengenakan caj pemindahan sebagai upah perkhidmatan transaksi.

Umumnya, perkhidmatan e-wallet tidak dilihat mempunyai unsur bercanggah dengan prinsip syariah selagi barangan dan perkhidmatan dibeli patuh syariah. Adaptasi Fiqh (takyif fiqhi) mungkin menimbulkan persoalan namun ia masih tidak terkeluar daripada prinsip dibenarkan syariah. Ia boleh dikira akad moden yang diterima syariah.

Bagaimanapun, ada beberapa isu dibangkitkan sebagai peringatan kepada syarikat penyedia e-wallet. Pertama, promosi bonus isi semula. Ada syarikat menawarkan bonus bagi setiap isian semula sebagai promosi menggunakan e-wallet mereka, contohnya isi RM100 dan dapat bonus tambahan RM5. Apakah itu termasuk riba?

Pada pandangan penulis, ia perlu diperhalusi, iaitu apakah RM100 isian semula adalah bentuk pinjaman pelanggan kepada syarikat penyedia e-wallet? Sekiranya ya, maka bonus dikira faedah ke atas pinjaman dan sudah pasti menjadi riba yang diharamkan.

Bagaimanapun, penulis tidak melihat ia satu bentuk pinjaman kerana syarikat penyedia e-wallet tidak mempunyai apa-apa hak penggunaan terhadap isian semula. Ia tidak sama seperti bank yang mempunyai hak melakukan pelaburan dan aktiviti dibenarkan.

Kebanyakan syarikat penyedia e-wallet mensyaratkan pembelian bagi menggunakan bonus itu. Ini kerana biasanya mereka menggunakan keuntungan caj transaksi pembelian bagi membayar bonus itu kepada pelanggan. Dengan kata lain, bonus itu diambil daripada keuntungan caj pembelian, bukan wang pelanggan.

Kedua, syarikat penyedia e-wallet menyediakan peruntukan khas bagi memasarkan e-wallet mereka untuk menarik ramai pelanggan. Maka, kebarangkalian ia akad pinjaman agak jauh.

Namun, jika syarikat penyedia e-wallet menggunakan wang milik pelanggan bagi aktiviti selain yang dibenarkan dan memberi bonus kepada pelanggan, ia termasuk bentuk pinjaman dan terdedah kepada riba. Sekiranya berlaku, mereka melanggar peraturan sebagai penyedia e-wallet dan boleh ditarik ‘lesen’.

Kedua, promosi yang bercanggah syariat. Ada syarikat penyedia e-wallet menawarkan cabutan bertuah kepada pelanggan yang menggunakan e-wallet mereka yang bertujuan menggalakkan pelanggan menggunakan perkhidmatan itu.

Contohnya, mereka perlu membayar RM1 dari e-wallet untuk menyertai cabutan bertuah yang sekiranya menang, mereka akan menerima hadiah berupa gajet bernilai ribuan ringgit. Mereka yang tidak berjaya akan dipulangkan kembali wang masing-masing.

Komitmen RM1 itu adalah satu bentuk perjudian walaupun dipulangkan kembali jika tidak berjaya kerana ia sama seperti menyertai perjudian tetapi tidak mengeluarkan duit sendiri.

Kesimpulannya, perkhidmatan e-wallet tidak melanggar prinsip syariah, apatah lagi ia membantu manusia memudahkan urusan harian. Bagaimanapun, terdapat proses teknikal dan kaedah promosi perlu diteliti sekiranya syarikat penyedia e-wallet ingin memastikan perkhidmatan patuh syariah.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Leave a Reply